Harga sawit tinggi mampu kekal ke akhir 2022

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka kekal tinggi pada separuh kedua tahun ini berikutan kebimbangan terhadap bekalan dan tinjauan permintaan yang bertambah baik, demikian menurut MIDF Research.

-Advertisement-

Firma penyelidikan itu berkata, harga komoditi berkenaan akan disokong oleh harga minyak boleh dimasak lebih tinggi disebabkan oleh kebimbangan bekalan di tengah-tengah perang berpanjangan Russia-Ukraine, yang mengganggu bekalan minyak bunga matahari.

Turut menyokong kenaikan harga adalah tinjauan pengeluaran yang lemah bagi kacang soya pada 2022/2023 berikutan kembalinya La Nina bagi tahun ketiga berturut-turut di Amerika Selatan, ditambah kawasan penanaman lebih rendah di Amerika Syarikat (AS), selain tinjauan permintaan lebih baik disokong peningkatan aktiviti ekonomi, katanya dalam satu nota.

“Di sebalik tinjauan positif kami terhadap sektor ini, kami menjangkakan harga MSM akan turun pada separuh kedua 2022 namun pada kadar yang berperingkat disebabkan kebimbangan terhadap tekanan inflasi global selepas mencatatkan harga lebih tinggi daripada jangkaan pada separuh pertama tahun ini.

“Sehubungan itu, kami mengekalkan unjuran harga MSM bagi 2022 pada RM5,500 satu tan buat masa ini,” katanya.

Sejajar dengan ini, MIDF Research mengesahkan lagi pendirian ‘positif’ ke atas sektor perladangan.

Risiko utama terhadap harga MSM termasuk kemunculan semula varian baharu COVID-19 yang menyebabkan satu lagi pusingan sekatan pergerakan di seluruh dunia, stok melebih jangkaan, bekalan kacang soya dan minyak kacang soya, selain perubahan dasar di negara-negara pengimport, katanya.

-Advertisement-

Sementara itu, Kenanga Research memberikan penarafan ‘overweight’ ke atas sektor perladangan, dengan berkata satu lagi perolehan yang baik boleh dijangka bagi musim keputusan kewangan April-Jun 2022 akan datang.

“Selepas itu, perolehan lebih rendah berkemungkinan berlaku namun (akan) kekal kukuh dengan jangkaan harga MSM pada RM4,500 satu tan bagi 2022 dan RM4,000 satu tan bagi 2023.

“Dengan kos pengeluaran antara RM2,000 dan RM2,500 satu tan, margin bagi sektor ini masih lagi menarik,” katanya dalam satu nota.

Menurut firma penyelidikan itu, daya tarikan sektor perladangan tidak lagi mengenai pemulihan perolehan, namun daya tahan perolehan, khususnya apabila inflasi dan kebimbangan terhadap kelemahan ekonomi membelenggu pasaran.

“Pertamanya, perolehan perladangan dijangka kekal kukuh berikutan permintaan yang berdaya tahan bagi sawit. Aset nyata bersih yang bersifat bertahan bagi sektor ini adalah satu lagi daya tarikan dan penilaiannya juga tidak berlebihan, terutama selepas penjualan besar-besaran dalam pasaran baru-baru ini.

“Bagaimanapun, dengan harga MSM berkemungkinan kekal tinggi sehingga 2023, margin yang kukuh boleh dijangka di sebalik kenaikan kos. Kami menaik taraf sektor ini daripada ‘neutral’ kepada ‘outperform’ kira-kira sebulan lalu, pandangan yang dikekalkan (buat masa ini),” katanya.

-BERNAMA -BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427