KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menegaskan harga barangan asas yang dikawal kerajaan tidak meningkat meskipun timbul dakwaan mengenai kenaikan harga yang dibuat segelintir pihak.
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata pemantauan sentiasa dilakukan penguat kuasa KPDN untuk memastikan harga barangan kawalan berada pada atau di bawah paras ditetapkan, selain meneliti secara terperinci aduan yang diterima.
“Jika dikatakan ada kenaikan mendadak bagi barangan asas, itu tidak benar sama sekali. Kita mengawal 43 jenis barangan kawalan, 11 harga kita kawal dan satu pun tidak naik.
“Sebagai contoh barang yang kita kawal, minyak bersubsidi tidak naik (harga) dan yang lima kilogram kemasan, kita hadkan pada RM30.90, (itu pun) tidak naik.
“Harga beras tidak naik dan kalau beras putih basmathi itu, perlu dibayarlah (pada harga tinggi) sebab kita tidak kawal. Harga RON95 itu terkawal.
“Apa lagi barangan yang menjadi keperluan asas, tidak naik kerana 53 barangan ini memang kita kawal dan sesiapa yang naikkan harga akan berdepan tindakan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong) mengenai berlaku kenaikan harga barangan di pasaran kerana peniaga terpaksa menaikkan harga berikutan pembekal menjual pada harga yang tinggi.
Menjawab dakwaan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mengenai kenyataan harga barangan asas tidak meningkat sebagai tidak berpijak di bumi nyata, Salahuddin berkata, semua fakta itu diperoleh daripada penguat kuasa KPDN yang turun ke lapangan.
Beliau mengakui kemungkinan ada kenaikan pada harga barangan yang diolah atau dimasak, namun tidak bagi barangan asas yang dikawal.
“Jadi, atas apa pun hujah yang diberikan kepada kementerian, semua barangan kawalan yang kita senaraikan dan wartakan tetap tidak naik dan rakyat boleh beli dengan harga yang ditetapkan.
“Pada masa sama, dengan jualan Rahmah di pasar raya, rakyat boleh berjimat lagi. Itu komitmen yang kita berikan,” katanya.
– Berita Harian