CHUKAI: Polis Terengganu mengesahkan hanya enam mayat tragedi kepala air di Jeram Air Putih di sini ditemui sehingga petang ini bukan sembilan seperti yang dimaklumkan sebelum ini.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan pada sidang media di Pusat Kawalan Operasi di Balai Polis Air Putih di sini, hari ini.
Mazli berkata, kekeliruan itu berlaku disebabkan masalah komunikasi berikutan lokasi operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa terletak jauh di dalam hutan.
“Setakat ini, hanya enam mayat ditemui dengan empat daripadanya ditemui hari ini manakala dua lagi ditemui semalam,” katanya.
Mangsa tragedi itu ialah sembilan beranak iaitu bapa, Karim Abdullah, 39, ibu Azizah Eiyi, 40; Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18; Putri Alleya Maisarah Karim, 16; Putri Nor Fatin Karim, 14; Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11; Putri Nurerina Natasya Karim, 10; Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6, dan Putri Aryana Umaira Karim, 4.
Seorang lagi mangsa adalah tunang kepada Putri Balqis Izzati iaitu Muhammad Fikri Saliman, 24, yang berasal dari Batu Pahat, Johor.
Kejadian kepala air itu dikatakan berlaku susulan hujan lebat berterusan sejak petang kelmarin hingga awal pagi semalam.
– BH