KUALA LUMPUR: Hampir satu juta warga kota dijangka keluar dari bandar raya ini untuk pulang ke kampung halaman masing-masing sempena sambutan Aidilfitri minggu depan.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman, berkata daripada 1.8 juta populasi di ibu kota, 60 peratus daripadanya dijangka akan meninggalkan kediaman masing-masing untuk bercuti.
Sehubungan itu, katanya, warga kota yang bakal meninggalkan kediaman mereka untuk melaporkan perkara itu kepada pihak polis dengan mengisi Borang Maklumat Balik Kampung.
“Orang ramai boleh mengisi borang berkenaan di mana-mana balai polis berhampiran kediaman atau menggunakan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP)
“Ini untuk memastikan pihak polis dapat mengenal pasti kediaman yang kosong sepanjang tempoh mereka pulang ke kampung untuk kita buat rondaan selain pemilik rumah mudah dihubungi sekiranya ada apa-apa berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Kempen Pemanduan Berhemah dan Rumah Selamat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Kawal Selia UMobile, Eric Liew Sze Yarn; Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Kuala Lumpur, Mohd Zaki Ismail dan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Sarifudin Mohd Salleh.
Kempen Pemanduan Berhemah dan Rumah Selamat bermula hari ini hingga 25 April ini mendapat penajaan UMobile serta kerjasama agensi sahabat antaranya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Mengulas mengenai kempen itu, Yahaya berkata, ia adalah idea Polis Kontinjen Kuala Lumpur memandangkan ibu negara menjadi lokasi tumpuan sebelum sambutan Aidilfitri.
“Sebelum menjelang Aidilfitri, ramai akan berpusu-pusu masuk ke ibu negara untuk membeli belah dan ini akan meningkatkan jumlah kenderaan sehingga berlaku kesesakan.
“Justeru, menerusi kempen ini, kita berharap pemandu akan sentiasa mematuhi peraturan selain mengelak daripada melakukan kesalahan jalan raya terutama di kawasan hospot,” katanya.
Beliau berkata, kira-kira 600 anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) akan ditugaskan secara bergilir sepanjang kempen berkenaan berlangsung dalam memastikan kelancaran lalu lintas.
“Pihak polis juga akan membuat penutupan jalan tertentu serta lencongan mengikut keperluan lalu lintas semasa bagi mengurangkan kesesakan selain memastikan aliran trafik tidak tersekat lama,” katanya.
Katanya, antara lokasi hotspot yang kerap berlaku kekerapan adalah di Jalan Sultan Ismail, Jalan Datuk Onn, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Bukit Bintang. – Berita Harian