Hampir 1,000 anak yatim, piatu akibat COVID-19 dibantu Yayasan Keluarga Malaysia

Estimate Reading Time: < 1 minute

PASIR MAS: Hampir 1,000 anak yatim dan yatim piatu yang kematian ibu atau bapa atau kedua-duanya disebabkan pandemik COVID-19, selain tergolong kategori B40 sudah dibantu Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) sejak 2021.

-Advertisement-

Pengerusi YKM yang juga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata 977 anak yatim dan yatim piatu itu daripada 368 keluarga di seluruh negara, termasuk 105 individu membabitkan 35 keluarga di Kelantan.

“Mereka yang layak dibantu menerusi dana lebih RM5 juta setahun disediakan YKM sebagai bantuan bulanan dan one off. Selain bantuan bulanan RM200 hingga RM250, penerima juga layak menerima bantuan one off setiap kali musim perayaan dan masuk sekolah.

“Bantuan sehingga mereka berusia 18 tahun atau tamat ijazah sekiranya melanjutkan pengajian,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Ziarah Kasih keluarga Ahmad Hadzlimi Nordin di Kampung Bechah Palas, Bunut Susu, di sini hari ini.

Ahmad Hadzlimi kematian isteri, Che Rohani Hassan akibat COVID-19 pada Jun 2021 dan kini tinggal bersama lima anak, tiga cucu dan seorang menantu.

-Advertisement-

Ismail Sabri berkata, dana yang diperuntukkan itu adalah bantuan daripada kerajaan, selain diusahakan sendiri pihak yayasan melalui pelbagai inisiatif, termasuk menganjurkan Larian Keluarga Malaysia tahun lalu.

“Saya berharap pemimpin setempat awasan boleh bantu kita menyalurkan maklumat sekiranya mereka mengesan ada penduduk di kawasan masing-masing layak menerima bantuan daripada YKM,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Hadzlimi meluahkan rasa syukur atas bantuan YKM kerana dia tidak mempunyai pendapatan tetap.

“Dengan bantuan yang diberikan, terutama bantuan bulanan yang diterima anak bongsu akan dapat mengurangkan beban kewangan kami,” katanya.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427