SOLO (INDONESIA): Gunung berapi paling aktif di Indonesia, Gunung Merapi, meletus hari ini dengan meledakkan debu hingga kira-kira 6,000 meter ke udara yang melitupi petempatan berhampiran, malah sebuah lapangan terbang terpaksa ditutup.
Debu bercampur pasir menghujani bandar sejauh 10 kilometer (km) dari kawah gunung yang terletak berdekatan pusat kebudayaan Indonesia, Yogyakarta.
“Kedengaran bunyi kuat untuk sekurang-kurang lima minit dan saya boleh melihat kepulan debu dari rumah saya,” kata seorang penduduk Boyolali yang hanya dikenali sebagai Jarmaji, kepada AFP.
Pihak berkuasa tidak menaikkan status amaran gunung berapi itu, namun menutup sementara lapangan terbang antarabangsa di bandar Solo – juga dikenali sebagai Surakarta – yang terletak sejauh kira-kira 40km, selepas letusan pada awal pagi berkenaan.
Agensi gunung berapi Indonesia memberi amaran supaya penduduk tidak berada dalam zon larangan tiga kilometer sekitar Gunung Merapi, dengan mengingatkan mengenai risiko bahaya daripada aliran lahar dan piroklastik.
Letusan besar Gunung Merapi pada 2010 telah meragut lebih 300 nyawa dan menyebabkan kira-kira 280,000 penduduk terpaksa berpindah.
Ia adalah letusan paling kuat Gunung Merapi sejak 1930 yang menyebabkan kira-kira 1,300 orang terkorban, manakala letusan pada 1994 pula meragut kira-kira 60 nyawa.
Negara ASEAN ini mempunyai hampir 130 gunung berapi aktif dengan terletak dalam ‘Lingkaran Api’ Pasifik yang sering menyaksikan berlakunya gempa bumi dan aktiviti gunung berapi. – AFP