KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti empat modus operandi sindiket dadah sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) sejak tahun lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, pertama, sindiket menggunakan perkhidmatan kurier dengan menyembunyikan dadah di dalam barangan penting dan keperluan asas.
Menurutnya, pada tahun lalu, sebanyak 84 kes dan 103 tangkapan telah dibuat manakala tahun ini merekodkan lima kes dengan empat tangkapan dilakukan.
“Taktik kedua adalah berselindung dengan menggunakan khidmat lori pengangkutan yang dibenarkan membuat pergerakan rentas daerah dan negeri bagi tujuan penghantaran barang keperluan.
“Seterusnya, ada juga taktik sindiket yang menggunakan khidmat penghantaran e-hailing untuk menghantar dadah dengan cara menyembunyikan di dalam bungkus makanan atau barangan lain.
“Ini terbukti dengan 29 kes direkodkan dengan 39 tangkapan dibuat melibatkan modus operandi ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Razarudin berkata, selain itu, seramai 1,135 orang telah ditahan membabitkan taktik sindiket yang menganjurkan parti haram di kediaman mewah.
Katanya, JSJN juga berjaya membongkar taktik sindiket yang menjual dadah secara atas talian (online).
Mengulas lanjut, pada tempoh Januari tahun ini, sebanyak 22 sindiket berjaya ditumpaskan dengan tangkapan seramai 9,323 individu termasuk 28 penjawat awam.
“Sepanjang tempoh itu, sebanyak 27,623.47 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah dan 4,955.61 liter cecair dadah berjaya dirampas dengan keseluruhan nilai berjumlah RM168.26 juta.
“JSJN juga telah menyita pelbagai aset sindiket dianggarkan bernilai RM26.10 juta di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988,” katanya.
Justeru, pihaknya akan sentiasa proaktif dalam menjalankan pemantauan sindiket pengedaran dadah agar tindakan dapat diambil mengikut peruntukan undang-undang. JSJN juga akan sentiasa bekerjasama dengan agensi penguatkuasa lain untuk membanteras sindiket dadah.- Sinar Harian