Guna Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi laksana penyasaran subsidi

Estimate Reading Time: 2 minutes

Di Malaysia, pengelasan isi rumah kepada B40, M40, dan T20 berdasarkan tahap pendapatan bertujuan membantu kerajaan mengenal pasti kumpulan sosio-ekonomi dan merancang program sosial serta ekonomi tepat untuk menyokong pelbagai segmen masyarakat.

-Advertisement-

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini menyebut golongan T15 dan beberapa subsidi dikurangkan bagi golongan ini. Beberapa perubahan penting diumumkan berkaitan golongan T15, termasuk pemotongan subsidi petrol RON95 sebanyak RM8 bilion dan pengurangan subsidi pendidikan secara berperingkat.

Penjimatan daripada langkah ini akan digunakan untuk meningkatkan prasarana Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Golongan T15 juga akan dikenakan kenaikan yuran bagi SBP dan universiti awam (UA), mencerminkan pendekatan kerajaan untuk mengimbangi perbelanjaan dan memperkukuh sistem pendidikan.

Menurut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, pengelasan kategori T15 sedang diperhalusi bagi memastikan penyasaran subsidi dibuat kerajaan nanti adalah adil kepada semua pihak.

Oleh itu, penting untuk mengenal pasti ciri-ciri golongan T15 dan adakah benar golongan ini dilabelkan sebagai ‘maha kaya’. Secara asasnya, golongan T15 biasanya merujuk kepada 15 peratus teratas dalam pembahagian pendapatan, menunjukkan kumpulan mempunyai pendapatan tertinggi dalam masyarakat.

Kumpulan ini terdiri daripada individu atau keluarga dengan pendidikan tinggi, pekerjaan profesional atau pemilik perniagaan berjaya. Mereka biasanya mempunyai akses kepada sumber dan peluang lebih baik berbanding golongan pendapatan rendah.

Dalam konteks pendapatan, golongan ini biasanya menikmati taraf hidup lebih baik dengan akses kepada pendidikan, kesihatan, dan peluang pekerjaan lebih baik.

-Advertisement-

Bagaimanapun, ia perlu juga mengambil kira keadaan semasa dihadapi golongan ini. Contohnya, golongan T15 tanpa tanggungan boleh dikatakan ‘maha kaya’ berbanding mereka berkeluarga.

Terdapat isi rumah dikategorikan golongan T15 hasil daripada jumlah pendapatan suami isteri. Hal ini pasti menunjukkan perbezaan realiti hidup sebenar meskipun mereka berada dalam kategori pendapatan sama. Contohnya, seorang individu bujang dalam golongan T15 mungkin mempunyai pendapatan tinggi dan dikatakan ‘maha kaya’.

Bagi golongan T15 mempunyai tanggungan besar dan tinggal di kawasan bandar, situasi kewangan mereka mungkin tidak sebaik individu T15 tidak mempunyai tanggungan.

Oleh itu, pengkelasan mengenai golongan T15 perlu diperhalusi bagi memastikan penyasaran subsidi akan dibuat kerajaan adalah adil kepada semua pihak. Secara umum, golongan T15 tidak memerlukan bantuan kewangan, kerana mereka berada dalam kumpulan pendapatan tertinggi dan mempunyai sumber mencukupi untuk menampung kos kehidupan.

Namun, ada situasi tertentu yang mana individu dalam golongan ini mungkin memerlukan bantuan, seperti dalam kes kesihatan, pendidikan anak atau masalah kewangan tidak dijangka.

Keputusan untuk penyasaran subsidi terutama golongan T15, bukan hanya mengambil kira aspek pendapatan tetapi juga mengambil kira elemen akses pendidikan, kesihatan dan kesejahteraan seperti dicadangkan dalam Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi.

Penulis ialah Felo Penyelidik Pasca Siswazah di Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC), Universiti Malaya
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427