JEMPOL: Alasan dua lelaki merentas negeri konon untuk membeli makanan segera di Bandar Bahau membawa padah apabila dia ditahan memiliki dadah dalam sekatan jalan raya (SJR) di Taman Sornam
dekat sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook, berkata kedua-dua suspek berusia 39 tahun itu berasal dari Kemayan, Pahang dan Batang Kali, Selangor di tahan jam 2.30 petang.
Katanya, ketika pemeriksaan, mereka gagal mengemukakan sebarang surat kebenaran rentas negeri sebelum pemeriksaan lanjut di dalam kereta dinaiki suspek, menemukan dadah di bahagian brek tangan.
“Polis merampas dua paket plastik heroin anggaran berat 110.5gram (g) dan dua paket plastik syabu dengan anggaran berat 13.25 g.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai membeli bekalan dadah di Batu Kikir,,” katanya di sini, hari ini.
Chang Hook berkata, kedua-dua suspek yang berkerja sebagai buruh itu turut memiliki rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.
Katanya, kesemua dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM5,193.
“Kedua-dua suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B dan 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Selain itu, mereka masing-masing dikenakan kompaun RM5,000 mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.-BH