Graduan raih RM8,000 sebulan hasil ternak kelulut

Estimate Reading Time: 2 minutes

KOTA BHARU: Bermula dengan hanya satu ‘rumah’ atau sarang kelulut pada 2017, seorang graduan sebuah universiti kini mampu meraih purata pendapatan sehingga RM8,000 sebulan.

-Advertisement-

Bertempat di halaman rumahnya di Kampung Membatu, Ketereh, dekat sini, Nur Izzatie Zulkifli, 25, kini mempunyai 80 sarang kelulut.

Melalui 80 sarang berkenaan, graduan Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) Terengganu itu mampu meraih purata pendapatan antara RM3,000 hingga RM8,000 sebulan.

NUR Izzatie Zulkifli. - Foto HAZIRA AHMAD ZAIDI
NUR Izzatie Zulkifli. – Foto HAZIRA AHMAD ZAIDI

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab itu, berkata madu kelulutnya sudah mendapat pensijilan Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP) daripada Jabatan Pertanian.

“Kini saya dalam proses mendapatkan Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) daripada Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Ia untuk membolehkan produk dipasarkan di pasar raya tempatan,” katanya.

Katanya, dia menternak kelulut dari spesis ‘Heterotrigona Itama’ dan ‘Geniotrigona Thoracica’ melalui 80 sarang yang diusahakan secara berperingkat di kawasan seluas 0.3516 hektar.

Harga bagi satu unit sarang kelulut yang dibeli adalah antara RM300 hingga RM400.

“Walaupun tiada asas dalam penternakan kelulut, saya nekad mengusahakannya dan berguru dengan penternak kelulut berpengalaman selain membuat kajian menerusi internet bagi mengetahui lebih mendalam mengenai madu kelulut,” katanya.

Produk keluarannya dipasarkan secara terus melalui Facebook, Instagram Google My Business dan laman web, https://rzgarden.com.

“Saya juga memasarkan secara borong, sistem ejen dan dijual kepada pengusaha produk kecantikan,” kata anak keempat daripada tujuh beradik ini.

-Advertisement-

Nur Izzatie berkata, rutin hariannya bermula pada setiap pagi dan petang untuk meninjau 80 sarang kelulut dan mengeluarkan madu daripada sarang menggunakan mesin penyedut madu.

“Biasanya, madu sesuai dituai sekitar jam 9 pagi hingga 3 petang kerana pada waktu ini, kelulut akan keluar mencari makanan dan ia akan mengurangkan gangguan kepada koloni.

“Menternak kelulut aktiviti paling mudah serta ringkas dan setiap bulan saya memperoleh sekurang-kurangnya dua kilogram madu daripada setiap sarang.

“Bagaimanapun, pada musim hujan, pengeluaran madu akan berkurangan,” katanya menjual madu kelulut keluarannya pada harga RM35 hingga RM180 sebotol, bergantung pada berat.

Nur Izzati yang pernah mengikuti Kursus Bijak Niaga di bawah program Empower Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), berkata ada juga mereka yang datang membeli diberi peluang menyedut terus madu daripada sarang.

Bagi memenuhi permintaan, usahawan muda ini memaklumkan, dia akan bekerjasama membeli madu kelulut dari 11 penternak di sekitar Ketereh.

“Ini secara tidak langsung dapat membantu penduduk menjual madu yang dituai untuk dipasarkan. Permintaan tinggi madu kelulut di Semenanjung mendorong saya untuk melangkah lebih jauh.

“Sekarang, abang yang berada di Kuala Lumpur sedang berusaha untuk mengeksport hasil madu ini ke Arab Saudi yang dijangka pada tahun depan,” katanya.

Bagi memudahkan pembungkusan dan pemprosesan madu, Nur Izzatie membuka sebuah bengkel bersebelahan rumahnya menerusi geran RM10,000 diperoleh pada tahun lalu.

“Geran itu disalurkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan melalui Jabatan Pertanian Kelantan dan Pejabat Pertanian Jajahan Kota Bharu,” katanya.

-BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427