KUALA LUMPUR: Grab Malaysia (Grab) menerusi kerjasama terkini dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan memberikan insentif kepada rakan pemandu dan penghantarnya yang menabung untuk simpanan persaraan melalui program i-Saraan bermula 1 September lalu.
Ia memberi insentif caruman tambahan sebanyak lima peratus sehingga maksimum RM80 setiap kepada rakan pemandu dan penghantar berumur bawah 55 tahun yang mencarum melalui program i-Saraan KWSP.
Bagi rakan pemandu dan penghantar berumur 55 tahun ke atas yang mencarum melalui program caruman sukarela KWSP, Grab memberi insentif caruman tambahan sebanyak 10 peratus, sehingga maksimum RM120 setiap tahun.
Grab juga memberi insentif caruman tambahan sebanyak 10 peratus, sehingga maksimum RM120 setiap tahun bagi rakan pemandu dan penghantar yang dikenal pasti sebagai orang kurang upaya (OKU) bagi semua peringkat umur yang mencarum melalui i-Saraan atau program caruman sukarela KWSP.
Insentif itu adalah susulan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Grab dengan KWSP bagi menggalakkan komuniti rakan pemandu dan penghantar Grab menabung untuk simpanan persaraan melalui program i-Saraan bagi ahli yang berumur bawah 55 tahun atau caruman sukarela bagi yang berumur 55 dan ke atas.
MoU itu adalah kesinambungan daripada MoU yang dimeterai kedua-dua pihak pada Ogos 2018.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata kerjasama kedua-dua pihak akan meningkatkan kesejahteraan persaraan rakan pemandu dan penghantar Grab.
Beliau berkata, MoU itu juga bertujuan mempromosikan literasi kewangan dalam kalangan rakan pemandu dan penghantar Grab
selain kepentingan membuat persediaan persaraan, terutama dalam landskap ekonomi mencabar, yang mana semua pihak perlu cakna dengan keadaan kewangan masing-masing.
“Kami berharap komuniti rakan pemandu dan penghantar Grab yang amat bekerja keras akan mendaftar sebagai ahli KWSP dan membuat simpanan untuk tabung persaraan mereka, sama ada melalui program i-Saraan atau caruman sukarela.
“Ini bukan saja dapat membantu mereka membuat persediaan persaraan, malah mereka juga akan dapat mendapat manfaat sebagai ahli KWSP, antaranya dividen tahunan ke atas simpanan, pelepasan cukai dan bantuan kematian,” katanya dalam satu kenyataan.
Pengarah Urusan Grab Malaysia, Sean Goh, berkata pihaknya berbesar hati atas kerjasama dengan KWSP, selaras dengan langkah kerajaan yang ingin mewujudkan ekosistem perlindungan sosial lebih holistik.
Beliau berkata, Grab komited memberikan peluang sama rata untuk mengakses mata pencarian baharu dan juga membantu mengatasi pengangguran dengan menggalakkan pendapatan tambahan melalui ekonomi digital, terutama bagi mereka yang berkeadaan unik seperti OKU dan pesara.
Berikutan pandemik, katanya terdapat penambahan pendaftaran yang mendadak untuk menjadi rakan pemandu dan penghantar, dengan lebih 50,000 orang menyertai platform berkenaan.
“Mereka bekerja keras setiap hari untuk menampung diri dan keluarga dan ini mendorong kami untuk memberikan yang terbaik. Disebabkan itu, kami akan membuat caruman tambahan sebanyak 10 peratus untuk rakan kami yang berumur 55 tahun ke atas yang menyertai skim caruman sukarela begitu juga rakan OKU,” katanya.
i-Saraan adalah caruman sukarela yang membolehkan individu yang bekerja dalam ekonomi gig dan juga yang bekerja sendiri menabung untuk simpanan persaraan mereka melalui caruman di KWSP.
Mereka yang mencarum dalam i-Saraan akan menerima insentif kerajaan sebanyak 15 peratus berdasarkan jumlah caruman individu setahun, sehingga maksimum RM250 setahun.
Di bawah program caruman sukarela pula, individu boleh mencarum sendiri pada bila-bila masa sehingga RM60,000 setahun. -BH