SYDNEY: Google hari ini mengugut menyekat pengguna warga Australia mengakses perkhidmatan enjin cariannya, melainkan kerajaan mengubah cadangan undang-undang supaya syarikat internet gergasi membayar firma media untuk kandungan mereka.
Pengarah Urusan Google Australia, Mel Silva, memberitahu jawatankuasa Senat di Canberra bahawa sekiranya rancangan undang-undnag media sekarang tidak berubah, ia bakal bertukar menjadi ‘senario terburuk’ termasuk memaksa syarikat itu untuk menyekat warga Australia.
“Jika rang undang-undang versi ini menjadi peraturan, itu tidak akan memberi kami pilihan lain selain berhenti membuat Google Search di Australia,” katanya.
Perdana Menteri Australia, Scott Morrison, memberi maklum balas ‘keras’ terhadap tuntutan organisasi berita terbesar di negara itu untuk menghalang firma teknologi Amerika Syarikat (AS).
“Australia membuat peraturan membolehkan apa hendak anda lakukan di Australia. Itu dilakukan di Parlimen kita.
“Orang yang mahu mematuhinya di Australia, anda sangat dialu-alukan tetapi kami tidak beri respons terhadap ancaman,” katanya.
Undang-undang sedemikan diperkenal pada tahun lalu, didakwa memaksa Google dan Facebook membayar organisasi media tempatan untuk menyediakan kandungan berita atau menghadapi denda bernilai jutaan dolar.
Di bawah undang-undang itu, syarikat terbabit akan diminta untuk membayar ganti rugi kepada media di Australia sama ada membabitkan syarikat media dimiliki jutawan media, Rupert Murdoch sehingga penyiar awam seperti ABC dan SBS.
Kerajaan memutuskan untuk mengecualikan platform popular lain seperti YouTube dan Instagram dari peraturan berkenaan.
Silva menegaskan bahawa Google mahu menyokong syarikat berita tetapi mencadangkan dilakukan pindaan undang-undang media yang akan berkuat kuasa akhir tahun ini.
“Ada jalan yang jelas untuk peraturan yang adil dan dapat dilaksanakan, dengan hanya dilakukan sedikit perubahan,” katanya. – AFP