WOLVERHAMPTON, England: Gol kemenangan kontroversi Manchester City pada minit terakhir menentang Wolves dalam aksi Liga Perdana Inggeris malam tadi tepat dan berhak susulan kesabaran pemainnya, kata pengurus Pep Guardiola.
Ketika City dilihat akan mengalami kekecewaan seri 1-1 di Molineux di sebalik penguasaan penuh, John Stones menanduk masuk sepakan sudut pada minit ke-95 melepasi jangkauan penjaga gol Wolves, Jose Sa.
Pengadil Chris Kavanagh pada mulanya tidah mengesahkan jaringan itu kerana pemain tengah City, Bernardo Silva terlalu dekat dengan Sa, tetapi video bantuan pengadil (VAR) memutuskan dia tidak menghalang penglihatan dan Kavanagh mengubah semula keputusannya.
“Bernardo tidak mengganggu posisi itu… Sa mempunyai penglihatan yang sempurna. Sepakan sudut Phil (Foden) dan penanduk gol amat menakjubkan,” kata Guardiola, yang meraikan kemenangan 2-1 itu secara menggila, sekali gus mencatat rekod kelab 31 perlawanan liga tanpa kalah.
“Kami tidak biasa memenangi perlawanan pada hujung aksi, seperti Jurgen Klopp (bekas pengurus) di Liverpool yang mana ia berlaku banyak kali. Ia satu perasaan yang bagus buat kami,” katanya kepada media.
Anak buah Guardiola menguasai 78 peratus pegangan bola menentang Wolves yang berjuang di tangga tercorot liga dan terdesak untuk bertahan sebaik mereka mendahului gol awal.
“Dengan 11 pemain dalam kotak penalti, secara asasnya ia terlalu sukar,” kata Guardiola, mengimbau pasukannya kalah di Molineux musim lalu. “Tetapi kami bersabar… Kami tetap dengan cara kami dan ia terlalu bagus.”
Beliau bagaimanapun bersimpati dengan pasukan lawannya.
“Kami pernah berada dalam keadaan itu, apabila anda tewas di hujung aksi. Tetapi inilah permainan,” kata Guardiola.
“Kami bermain dengan cara kami mahu bermain dan seronok untuk berada di sini, untuk menjaringkan gol dalam 50 saat terakhir dan melonjak ke tangga teratas liga (buat seketika).”
Dengan Sparta Prague menanti mereka dalam Liga Juara-Juara awal pagi Khamis ini, Guardiola berkata beliau tidak berasakan pemain pertahanan yang cedera Kyle Walker mahupun pemain tengah Kevin De Bruyne boleh sedia diturunkan.
“Kami ada beberapa hari untuk berlatih, tetapi saya tidak fikir sebegitu (kedua-duanya beraksi),” katanya.
-REUTERS
-BeritaHarian