KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan kumpulan curi kenderaan dikenali Geng Elango Magna selepas menahan dua lelaki tempatan pada 13 Januari lalu dan menemui semula 11 kenderaan dicuri.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, berkata kumpulan didalangi suspek berusia 35 tahun dikenali sebagai Elango bersama seorang lagi suspek berusia 51 tahun dikesan aktif mencuri kenderaan membabitkan lori, van dan kereta sejak akhir bulan lalu.
“Sehingga 13 Januari lalu, kumpulan ini dipercayai mendalangi 11 kejadian curi kenderaan dilaporkan berlaku di sekitar Kepong dan Jinjang, Sentul.
“Tiga kenderaan dicuri pada tahun lalu dan lapan lagi dicuri antara 1 Januari hingga 13 Januari lalu.
“Ini bermakna mereka mencuri sebuah kenderaan selang dua hari,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini, hari ini.
Beliau berkata, hasil soal siasat, polis menemui semula 11 kenderaan yang dicuri, masing-masing empat van dan lori satu tan serta tiga kereta iaitu dua PROTON Iswara dan satu PROTON Saga lama.
Katanya, pihaknya turut menemui 49 unit skrin komputer dipercayai muatan yang ada dalam sebuah lori dilarikan, selain dua generator dilarikan daripada sebuah gudang yang dipecah masuk kumpulan itu.
“Semua kenderaan dan barangan rampasan dianggarkan bernilai RM120,000, manakala kenderaan dicuri pula adalah model lama kerana fungsi keselamatan kenderaan yang rendah memudahkan ia dilarikan.
“Untuk lori dan van, mereka hanya menggunakan gunting kecil untuk membuka pintu dan menghidupkan enjin kenderaan,” katanya.
Eng Lai berkata, kumpulan ini menyasarkan kenderaan diletakkan di kawasan perumahan serta perindustrian dengan semua kenderaan dilarikan diletakkan di tepi jalan kawasan terpencil tanpa ditukar nombor pendaftarannya.
“Seorang daripada suspek berpengalaman sebagai mekanik dan bertanggungjawab meleraikan komponen kenderaan dicuri untuk dijual kepada individu atau bengkel sebagai alat ganti
“Kita percaya terdapat permintaan tinggi untuk alat ganti kenderaan model lama kerana tidak mudah mendapatkan alat ganti baharu di pasaran,” katanya.
Eng Lai berkata, semakan mendapati Elango mempunyai 19 rekod jenayah lampau dan baru dibebaskan dari penjara pada April tahun lalu kerana jenayah curi kenderaan, manakala rakannya mempunyai 16 rekod jenayah lampau berkaitan dadah serta jenayah.
“Ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah dan mereka kini direman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan
mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan serta Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.
-BH