PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) menjalankan projek rintis membabitkan pemakaian gelang pengawasan pengesan digital bagi individu yang sedang menjalani kuarantin di rumah termasuk bagi pengembara yang baharu pulang dari luar negara.
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Chong Chee Kheong, berkata projek rintis itu dilaksanakan di bawah Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley melalui penyumberluaran dengan perolehan sebanyak 30,000 unit alat peranti akan dilaksanakan.
Hingga kini projek rintis ini membabitkan seribu unit peranti yang digunakan terhadap pengembara dari luar negara yang mendapat kebenaran menjalani kuarantin di rumah.
“Pengesan digital ini untuk bantu KKM memantau pergerakan individu dari luar negara, kontak rapat atau individu yang mempunyai gejala sementara atau pesakit kategori satu dan dua.
“Pelaksanaan sistem kawalan kualiti ini membolehkan individu dapat dipantau dengan berkesan dengan penguatkuasaan pelangggarannya akan dijalankan KKM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.
-BH