Gandingan Prabowo-Gibran mencorak lembaran baharu hubungan KL-Jakarta

Estimate Reading Time: 3 minutes

Pada 20 Oktober alu, Prabowo Subianto dan Gibran Rakabuming Raka dilantik secara rasmi sebagai Presiden dan Naib Presiden Indonesia bagi penggal 2024-2029 di Bangunan Nusantara, Kompleks Parlimen, Jakarta.

-Advertisement-

Prabowo dan Gibran mengangkat sumpah jawatan dikawal mengikut Perkara 9 Perlembagaan 1945. Majlis itu dirasmikan Pengerusi Dewan Perundingan Rakyat (DPR), Ahmad Muzani dan selepas itu, Prabowo dan Gibran mengangkat sumpah jawatan, berjanji menjalankan tugas negara seadil mungkin dan mematuhi Perlembagaan 1945 dan peraturan berkenaan.

Selepas lafaz sumpah, Prabowo menyampaikan ucapan pertamanya sebagai Presiden, yang mana beliau mengkaji pelbagai isu yang menimbulkan kebimbangan nasional dan global.

Dalam ucapan pertamanya, Prabowo menekankan keperluan membasmi rasuah, mengurangkan kemiskinan dan mencapai kemerdekaan dalam makanan serta tenaga.

Beliau turut menekankan kepentingan hiliranisasi komoditi untuk meningkatkan kebajikan rakyat dan menyatakan solidariti Indonesia kepada rakyat Palestin.

Prabowo menegaskan rasuah masih menjadi ancaman besar kepada masa depan Indonesia, mengkritik kebocoran belanjawan negeri dan persekongkolan antara pegawai politik dan ahli perniagaan tidak patriotik.

Beliau berjanji untuk menambah baik sistem kerajaan dengan pendigitalan dan penguatkuasaan undang-undang lebih ketat, sambil menjemput semua pemimpin di pelbagai peringkat menjadi teladan memerangi rasuah.

“Kalau ikan busuk, ia bermula daripada kepala,” katanya sambil menekankan kepentingan integriti kepemimpinan dari atas ke bawah sambil menekankan pembasmian kemiskinan adalah tanggungjawab bersama dan langkah konkrit diperlukan untuk memperbaiki keadaan ini.

Beliau menegaskan Indonesia perlu segera mencapai sekuriti makanan dalam masa singkat supaya tidak bergantung kepada bekalan dari luar negara.

Dengan keyakinan tinggi, Prabowo menyatakan dalam masa empat hingga lima tahun, Indonesia akan merdeka dari segi makanan malah berpotensi menjadi bangsal makanan dunia.

Dalam usaha meningkatkan ekonomi rakyat, Prabowo berkata kerajaannya akan memberi tumpuan kepada hilirisasi komoditi, percaya ekonomi Indonesia akan berkembang lebih kukuh dan boleh dinikmati semua rakyat Indonesia.

Pelantikan Prabowo menandakan babak baharu dalam hubungan antara Indonesia dan Malaysia. Sebagai dua negara jiran mempunyai hubungan diplomatik, ekonomi dan budaya erat, perubahan kepemimpinan di Indonesia pasti membawa pengaruh terhadap dinamika kerjasama kedua-dua negara.

Sejak era kepemimpinan terdahulu, hubungan antara kedua-dua negara sering dipengaruhi pelbagai faktor seperti sempadan, tenaga kerja dan perdagangan.

Presiden Prabowo turut mengisytiharkan Indonesia akan meneruskan dasar berdikari dalam bidang tenaga dan makanan, mungkin mewujudkan peluang kerjasama dengan Malaysia dalam pelbagai sektor, termasuk pertanian, sumber tenaga boleh diperbaharui dan teknologi hijau.

-Advertisement-

Hubungan ekonomi antara Indonesia dan Malaysia adalah komponen penting dalam interaksi dua hala. Indonesia dan Malaysia sering bekerjasama dalam sektor perladangan kelapa sawit, gas asli dan tenaga kerja.

Dengan pengisytiharan Prabowo untuk mencapai kemandirian tenaga dan makanan, Malaysia boleh mengambil kesempatan meningkatkan kerjasama dalam bidang pelaburan teknologi hijau dan pertanian moden.

Malaysia dan Indonesia juga negara pengeluar utama produk kelapa sawit dunia, dan Prabowo dalam ucapannya menekankan Indonesia akan memfokuskan kepada komoditi hiliran untuk menambah nilai produk eksportnya.

Di sini, Malaysia boleh bekerjasama dalam usaha ini, terutama meningkatkan kualiti produk hiliran bagi memperluas pasaran global. Dengan langkah bersama, kedua-dua negara dapat memainkan peranan penting dalam industri kelapa sawit.

Salah satu isu utama dalam hubungan Indonesia-Malaysia ialah tenaga kerja. Malaysia menjadi destinasi utama bagi pekerja Indonesia, terutama dalam sektor perladangan, pembinaan, dan pembantu rumah.

Bagaimanapun, terdapat banyak isu berkaitan hak pekerja, perlindungan dan dasar imigrasi perlu diselesaikan. Kepemimpinan Prabowo tegas membanteras rasuah dan meningkatkan keberkesanan sistem pentadbiran di Indonesia, terutama melalui digitalisasi, mungkin akan membawa perubahan dalam pengurusan tenaga kerja di Malaysia.

Salah satu isu sensitif kerap mewarnai hubungan Indonesia-Malaysia ialah isu sempadan maritim serta perebutan kawasan kaya dengan sumber asli.

Meskipun terdapat persetujuan untuk menangani isu ini secara diplomatik, hubungan di bawah kepimpinan Prabowo akan diuji bagaimana beliau menangani isu kompleks ini.

Kerjasama lebih erat dalam penyelesaian konflik sempadan dan pengurusan sumber asli akan terus menjadi ujian utama bagi kedua-dua negara.

Sebagai dua anggota penting dalam ASEAN, Malaysia dan Indonesia perlu terus memainkan peranan utama dalam memperkuat kerjasama serantau. Dengan cabaran dihadapi ASEAN seperti menangani isu Myanmar dan ketegangan di Laut China Selatan, hubungan antara Indonesia dan Malaysia akan menjadi semakin kritikal dalam memastikan kestabilan serantau.

Kepemimpinan Prabowo dijangka membawa perspektif baharu dalam menangani cabaran ini, terutama menegaskan kepentingan integrasi ekonomi ASEAN dan kebebasan maritim.

Bermakna, Prabowo dan Gibran bakal membawa harapan baharu bagi masa depan hubungan Indonesia-Malaysia. Walaupun terdapat cabaran harus ditangani, terutama dalam isu tenaga kerja dan pertindihan sempadan, kedua-dua negara berpeluang memperkukuhkan kerjasama dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, tenaga dan diplomasi.

Kepimpinan Prabowo bercirikan anti-rasuah, tegas dalam pembaharuan, serta fokus kepada kemandirian tenaga dan makanan pasti mewujudkan sinergi positif dengan Malaysia, membuka lembaran baharu dalam hubungan strategik antara kedua-dua negara.

Penulis ialah Profesor Pelawat Universiti Pembangunan Nasional, Indonesia
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427