KOTA KINABALU: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Sabah mengagihkan kira-kira empat tan bahan makanan kepada penduduk yang terjejas berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di sekitar bandar raya ini.
Bahan makanan termasuk sayuran dan buah-buahan itu disalurkan menerusi program tanggungjawab sosial Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) atau MAFI Prihatin yang dilaksanakan di seluruh negara.
Pengarah FAMA Sabah, Ribin Wahid, berkata bahan makanan terbabit adalah hasil sumbangan 40 rakan strategik termasuk Persatuan Penanam dan Pemborong Sayur Pantai Barat Sabah, selain peserta ladang kontrak FAMA.
Katanya, pengagihan bahan makanan itu adalah antara usaha dilaksanakan MAFI dan FAMA bersama rakan strategiknya untuk meringankan beban penduduk terutama mereka yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
“MAFI bersama FAMA Sabah membantu mengagihkan bantuan barangan makanan yang disumbangkan sepenuhnya oleh rakan strategik kita di beberapa kawasan yang dikenakan PKPD seperti Kampung Likas dan sekitarnya.
“Pihak kementerian dan FAMA Sabah khususnya akan terus membantu dan menjadi pemudah cara bagi membantu mereka yang memerlukan bantuan khususnya yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
“Sumbangan diserahkan kepada jawatankuasa Masjid Bandaraya Kota Kinabalu dan selepas itu mereka akan menyalurkan pula ke masjid berhampiran sebelum diagihkan kepada golongan yang terjejas di kawasan mereka,” katanya dalam kenyataan, di sini.
Dalam perkembangan lain, Ribin berkata FAMA Sabah mewujudkan Pusat Pengurusan Krisis (CMC) bagi menjamin rantaian bekalan makanan dan sektor pertanian di Sabah tidak terjejas sepanjang pelaksanaan PKP 3.0.
Katanya, bilik gerakan itu beroperasi setiap hari bermula jam 8 pagi hingga 7 malam dan sentiasa bersedia menerima pertanyaan daripada orang ramai melalui emel cmcfamasabah@gmail.com.