PARIS: Formula Satu (F1) bersetuju memperkenalkan kelayakan “pecut” di tiga Grand Prix musim ini, umum penganjur perlumbaan itu semalam.
Kelayakan pecut meliputi jarak 100 kilometer akan menentukan petak perlumbaan dan menawarkan mata untuk tiga pelumba terpantas.
Sesi pecutan itu, yang “direka bagi merancakkan aksi di atas litar”, akan dilangsungkan di dua perlumbaan Eropah dan satu di luar benua itu.
Dua litar Eropah yang dilaporkan bakal menampilkan sesi kelayakan baharu itu ialah GP British di Silverstone (Julai) dan GP Itali di Monza (September).
“Saya gembira semua pasukan menyokong rancangan ini, dan ia adalah bukti usaha bersama kami untuk menghiburkan peminat dan pada masa sama memastikan kami kekal komited menjaga keaslian sukan ini,” kata ketua eksekutif F1 Stefano Domenicali.
Tiga perlumbaan yang menampilkan sesi berkenaan akan menyaksikan sesi kelayakan biasa berdasarkan pusingan terpantas selepas sesi latihan bebas pertama pada Jumaat.
Sesi kelayakan itu akan menentukan kedudukan petak bagi kelayakan pecut pada Sabtu.
Pemandu terpantas sesi pecutan itu, yang akan berlangsung selepas sesi latihan bebas kedua, akan mengutip tiga mata kejohanan, diikuti dua mata untuk pemandu kedua dan satu mata untuk tempat ketiga.
Format baharu ini perlu diluluskan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) yang mesyuarat seterusnya dijadualkan pada 9 Julai nanti.-BH