ALOR SETAR: Kerajaan negeri sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga terhadap keselamatan penduduk dan harta benda di kawasan sekitar empangannya berikutan terdapat infrastruktur yang berusia lebih 50 tahun.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata pihaknya sudah diberi taklimat mengenai kedudukan semasa dua empangan di Kedah iaitu Empangan Muda dan Empangan Ahning pada 2021, termasuk langkah menghadapi kecemasan sekiranya berlaku bencana.
“Empangan di Kedah diselia oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). Taklimat kedudukan semasa empangan di Kedah dan perancangan menghadapi kecemasan diberikan MADA dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Langkah menghadapi situasi tersebut akan dikendalikan berdasarkan arahan tetap MKN 20. Buat masa ini, MADA dan JPS masih berkeyakinan struktur dan sistem empangan kukuh dan tidak mengancam keselamatan.
“Walaupun begitu, langkah berjaga-jaga perlu sentiasa diambil memandangkan terdapat empangan yang melebihi usia 50 tahun,” katanya ketika dihubungi BH di sini, hari ini.
Terdahulu media melaporkan, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim (NRECC) akan memberi perhatian serius terhadap lapan empangan berisiko tinggi mengalami kerosakan struktur termasuk menawarkan langkah interim menyediakan sokongan kewangan kepada pemilik empangan.
NRECC berkata, kementerian sudah membentangkan laporan status pemeriksaan keselamatan lapan daripada 41 empangan berisiko oleh Pasukan Flying Squad.
Pemeriksaan ke atas semua empangan itu yang dilakukan antara 2021 dan 2022 itu membabitkan dua empangan di Kedah iaitu Empangan Muda dan Ahning; Empangan Jor dan Mahang (Perak); Empangan Sultan Abu Bakar (Pahang), Empangan Babagon (Sabah), Empangan Bakun (Sarawak) dan Empangan Kenyir di Terengganu.
Kos pembaikan dan penyenggaraan bagi lapan empangan itu dianggarkan sebanyak RM135.82 juta dan pemilik empangan perlu menyediakan peruntukan khas bagi penyelenggaraan.
– BeritaHarian