Elon Musk selesai ambil alih Twitter bernilai AS$44 bilion

Estimate Reading Time: < 1 minute

SAN FRANCISCO, 28 Okt 2022 (The Capital Post): Jutawan dan pemilik syarikat Tesla, Elon Musk menyelesaikan pengambilalihan Twitter bernilai AS$44 bilion (RM207.6 bilion).

-Advertisement-

Menurut beberapa laporan media dan pelabur dalam firma itu, langkah berkenaan turut disusuli pemecatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Ketua Pegawai Kewangan (CFO) dan Ketua Hal Ehwal Undang-undang serta Dasar Twitter berkuat kuasa serta-merta.

CEO Parag Agrawal, dan CFO Ned Segal dan Vijaya Gadde tidak lagi bersama syarikat itu, menurut laporan media AS.

Musk mendakwa eksekutif tertinggi syarikat itu telah mengelirukan beliau dan pelabur Twitter berhubung jumlah akaun palsu di platform media sosial tersebut.

Agrawal dan Segal berada di ibu pejabat Twitter di San Francisco apabila perjanjian itu dimeterai dan telah diiring keluar, lapor media AS yang memetik sumber dalaman syarikat.

Saham platform media sosial Twitter akan digantung daripada dagangan pada Jumaat, menurut laman web Bursa Saham New York.

Musk dalam pada itu dilapor berkata beliau membeli Twitter untuk membantu masyarakat dunia dan mahu “tamadun manusia mempunyai ruang digital yang sama”.

-Advertisement-

Awal minggu ini, Musk menghantar tweet video dirinya berjalan ke ibu pejabat Twitter di San Francisco sambil membawa sinki dapur dengan kapsyen: “Let that sink in!”

Beliau juga menukar profil Twitternya kepada “Chief Twit”.

Musk dalam pada itu mengulangi ketegasannya untuk ‘menumpaskan’ bot spam di Twitter, membuat algoritma yang membolehkan pengguna secara terbuka menentukan isi kandungan, selain menghalang platform itu daripada menjadi ruang kebencian dan perpecahan.

Namun Musk tidak mendedahkan butiran bagaimana beliau akan melaksanakan semua itu dan siapa yang akan mengendalikan syarikat itu.

Beliau turut merancang mengurangkan jumlah pekerja menyebabkan kira-kira 7,500 staf Twitter kini bimbang mengenai masa depan mereka.

– AGENSI -BH

(The Capital Post)


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427