BELUM lagi reda dengan kejutan kepantasan jatuhnya rejim Bashar al-Assad, negara kuasa besar sudah memulakan percaturan dalam merencanakan bentuk Syria baharu pada masa hadapan.
Walaupun bakal Presiden ke-47 Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menegaskan negara itu tidak akan campur tangan, mampukah Washington memerhati sahaja jika Moscow, Ankara, Tehran dan beberapa negara Arab lain cuba mewarnai masa depan Syria mengikut kepentingan agenda masing-masing?
Tidak dinafikan episod ini adalah tamparan hebat kepada pengaruh Russia dan Iran di Asia Barat kerana kedua-dua negara ini sebab utama mengapa Bashar mampu bertahan lebih sedekad sebagai Presiden Syria.
Tidak boleh dinafikan juga Turkiye meraih aura positif kerana dikatakan ‘lampu hijau’ dari Ankara membuatkan pemberontak berani menawan Allepo dan seterusnya Damsyik.
Pada masa sama, Presiden Joe Biden memberi kenyataan ‘masa depan Syria sekarang berada di tangan rakyat Syria’ dengan harapan tiada campur tangan negara asing. Namun, hakikatnya apa yang tercetus terhadap Iraq pada 2003 dan kemudian Libya pada 2011 sudah pun berlaku di Syria yang mana tiada satu pun pihak mempunyai kawalan politik dan ketenteraan.
Jatuhnya Saddam Hussein dan Muamar Gadaffi yang masing-masing memerintah Iraq dan Libya, sekarang melanda pula Syria tanpa perancangan persediaan era pasca Bashar. Selama bertahun Iraq dan Libya mengalami sengsara perang saudara kerana kesilapan percaturan kuasa besar.
Apabila Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mendabik dada Hizbullah ketika ini hampir ditewaskan dan berada dalam keadaan lemah susulan Damsyik mudah ditawan pejuang kemerdekaan, kebenaran dakwaan itu memang wujud.
Netanyahu tidak menunggu lama untuk meraih laba dengan apa yang tercetus di Syria apabila merampas sempadan penampan Bukit Golan selepas tentera Syria berundur mengawal kawasan berkenaan ketika Damsyik ditawan pejuang.
Kawasan bukan milik Israel
Netanyahu mendakwa rampasan kawasan sempadan ini demi menjaga keselamatan penduduk Israel di Bukit Golan, walhal kawasan itu bukan milik Israel, tetapi dijajah Tel Aviv seperti berlaku terhadap Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.
Ada kebenarannya juga kejatuhan rejim Bashar menandakan kemuncak berakhirnya ‘Arab Spring’ bermula lewat 2010 yang memberi kesan besar kepada beberapa negara seperti Maghribi, Mesir dan Algeria. Namun tidak boleh ditolak ketepi berakhirnya ‘Arab Spring’ ini dengan kejatuhan Bashar kerana ia akan memberi kesan mendalam terhadap geopolitik negara Arab, terutama dalam hal berkait percaturan kuasa besar.
Menarik jika diperhati sebelum ini negara Arab seperti Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) mahu melihat Bashar digulingkan, tetapi akhirnya pada 2023, Syria diterima kembali dalam kumpulan Liga Arab.
Walaupun Iran dianggap sudah kehilangan pengaruh di Syria tetapi tidak boleh diketepikan kuasa proksi Iran seperti Hizbullah dan Houthi di Yaman pada masa hadapan. Israel menganggap rejim Bashar sebagai musuh tetapi sebenarnya tidak sangat memberi ancaman. Namun, dengan kemunculan kumpulan pejuang terkuat di Syria, iaitu Hayat Tahrir al Sham (HTS) yang sebelum ini mempunyai ideologi mirip Al Qaeda, pemimpinnya Abu Mohammed al-Golani mempunyai prinsip selari dengan Hamas, iaitu menghapuskan Israel.
Maka, geopolitik Arab kini menjadi lebih rumit kerana dikatakan HTS mendapat bantuan Turkiye walaupun dinafikan Ankara. Walaupun pengaruh Iran di Syria dan keseluruhan rantau Arab jatuh merundum, tetapi negara Arab, Turkiye, Israel dan kuasa besar lain seperti Russia dan AS berhadapan dengan pilihan sama ada akan membiarkan kumpulan pemberontak seperti HTS mengawal sepenuhnya hala tuju masa hadapan Syria dan rantau Asia Barat atau perlu ada campur tangan.
Bagi seteru Iran khasnya Israel dan AS, mungkin ini adalah masa terbaik untuk melumpuhkan apa yang digelar sebagai paksi penentangan (Axis of Resistance) dipelopori Tehran melalui Hizbullah, Hamas dan Houthi.
Tidak syak lagi Russia dan Iran adalah entiti paling rugi kerana kedua-dua negara ini membuat pelaburan mahal harganya, tetapi akhirnya Bashar tewas juga.
Hakikatnya juga kejatuhan Bashar menjadi isyarat kemenangan besar kepada rakyat Syria kerana bermulanya ‘Arab Spring’ akibat rakyat marhaen tidak puas hati dengan pemerintah mereka.
Walaupun kuasa besar dan negara Arab memberi gambaran positif susulan kejatuhan Bashar, soalnya selama mana negara jiran dan kuasa besar rela membiarkan rakyat Syria membuat keputusan masa hadapan mereka tanpa campur tangan asing?
Kumpulan HTS ini dikatakan mempunyai kaitan rapat dengan ideologi Al Qaeda. AS, Kesatuan Eropah (EU) dan beberapa negara barat melabel HTS sebagai kumpulan pengganas setara dengan Hamas.
Justeru, tidak mungkin kuasa dan negara asing akan membiarkan HTS menentukan masa depan Syria seperti Hamas dipilih penduduk Gaza menjadi wakil mereka walaupun dilabel kumpulan pengganas.
Bagaimanapun, masih wujud harapan positif dengan kebangkitan HTS kerana ketika ketuanya ditemu bual media antarabangsa seperti CNN dan BBC, lagak Abu Mohammed lebih menyerupai seorang pemimpin berpengalaman dipilih rakyat Syria berbanding sebagai ketua pengganas.
Apa yang penting, masyarakat antarabangsa tidak sepatutnya terperangkap dengan strategi Barat sering melabel kumpulan pejuang kemerdekaan sebagai pengganas, walhal kumpulan ini berjuang membebaskan tanah air mereka.
Penulis adalah Felo Majlis Profesor Negara dan Akademi Penyelidikan Nusantara (NASR)
-BeritaHarian