KUALA LUMPUR: Malaysia diunjur mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 6.0 peratus pada 2021, kedua tertinggi di ASEAN selepas Filipina, kata Credit Suisse.
Ketua Bersama Penyelidikan Sekuriti dan Ketua Penyelidikan Malaysia Credit Suisse ASEAN, Danny Goh, berkata penggunaan swasta menyumbang 58 peratus daripada KDNK dan menjadi penyumbang tunggal terbesar.
“Kami percaya selagi kerajaan melaksanakan langkah-langkah Belanjawan 2021 seperti pemberian tunai dan inisiatif mengurangkan kadar pengangguran, penggunaan swasta dijangka melantun semula, sekiranya tidak ada lagi sekatan pergerakan,” katanya.
Sementara itu, risiko utama yang boleh menjejaskan kemajuan jangkaan pemulihan berbentuk V pada 2021 adalah ketidakstabilan politik dan langkah-langkah pembendungan penularan pandemik COVID-19.
“Ketika ini, risiko-risko ini agak ketara,” katanya pada Taklimat Media Persidangan ASEAN Credit Suisse 2021, yang diadakan secara maya, hari ini.
Beliau berkata, meskipun paras aliran keluar asing yang tinggi, pasaran saham Malaysia bertahan dengan baik pada 2020 disumbang aliran masuk daripada pelabur institusi dan runcit tempatan.
“Pada dasarnya kami menyasarkan FBM KLCI mencapai paras 1,795 bagi 2021 dan ini mengandaikan pemulihan berbentuk V dan kebiasaannya kita akan melihat korelasi yang sangat tinggi antara prestasi KDNK dan prestasi pasaran,” katanya.
Bagi 2021, beliau berkata Credit Suisse menganggarkan pemulihan keuntungan bersih tinggi bagi pasaran sebanyak 59 peratus, yang tertinggi di rantau Asia Pasifik.
“Saham perjudian, hartanah, kimia, sarung tangan dan penjagaan kesihatan dijangka mencatatkan pertumbuhan keuntungan bersih tinggi pada 2021,” kata Goh.
Dari segi pendedahan pada 2021, Malaysia mencatatkan keseimbangan antara pemulihan dan defensif memandangkan jangkaan tahun yang tidak menentu.
Credit Suisse menganggarkan syarikat yang mempunyai aliran tunai kukuh mencatatkan purata hasil dividen 3.2 peratus pada 2021, berbanding 2.45 peratus pada 2020 dan setara dengan purata sebelum ini.- BERNAMA