Ekonomi APEC dijangka berkembang 6.3 peratus 2021

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Ekonomi di rantau Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dijangka berkembang 6.3 peratus tahun ini disokong oleh peningkatan aktiviti domestik dan global di tengah-tengah persekitaran mencabar penularan COVID-19, demikian kata Pengarah Unit Sokongan Dasar APEC, Dr Denis Hew.

-Advertisement-

Beliau berkata, jangkaan pertumbuhan ekonomi rantau itu mampu dicapai berdasarkan pemulihan yang dicatatkan pada suku pertama tahun ini terutama dalam perdagangan dan perbelanjaan swasta.

Katanya, pemulihan yang dicatatkan di dua ekonomi terbesar dunia, Amerika Syarikat (AS) dan China juga penting dalam menyumbang kepada pemulihan global.

“Jangkaan pertumbuhan 6.3 peratus bagi rantau APEC tahun ini itu mampu dicapai. Pada suku pertama dilihat pemulihan dalam pertumbuhan dan perdagangan.

“Malah, Pertubuhan Perdagangan Antarabangsa (WTO) juga menjangkakan jumlah perdagangan global dijangka berkembang 10 peratus tahun ini,” katanya pada sidang media secara maya mengenai Analisis Trend Rantau APEC (ARTA) hari ini.

Sementara itu, Hew berkata, negara anggota APEC perlu bekerjasama secara rapat dalam memastikan penduduk di rantau itu mendapat vaksin secepat mungkin dalam memastikan pemulihan ekonomi rantau itu berterusan.

-Advertisement-

Beliau berkata, vaksinasi adalah langkah penting untuk memastikan pemulihan ekonomi berjalan lancar selepas terkesan oleh impak negatif penularan pandemik tahun lalu.

Katanya, bantuan bersasar dalam membantu perniagaan dan isi rumah yang terkesan pandemik dilihat berkesan untuk tangani kesan COVID-19 terhadap pemulihan ekonomi.

“Hanya satu cara membendung COVID-19 ialah mendapatkan seramai boleh penduduk divaksin. Justeru, usaha memudahkan akses dan agihan vaksin perlu diberi perhatian oleh negara anggota APEC di samping memantapkan usaha membendung penularan pandemik yang lain,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Sekrertariat APEC, Tan Sri Dr Rebecca Fatima Sta Maria, berkata pelbagai usaha sudah dilaksanakan negara anggota APEC dalam menangani impak pandemik terhadap ekonomi dan perdagangan di samping menjamin kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, pemimpin negara anggota akan memberi tumpuan terhadap maklum balas dalam menangani COVID-19 termasuk memastikan pergerakan lancar barangan penting serta bekalan barangan berkaitan kesihatan di rantau itu.

“Kami juga mempunyai garis panduan terhadap amalan baik bagi pihak kastam untuk memudahkan pengedaran vaksin dan produk berkaitan dengannya,” katanya.-BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427