KUALA LUMPUR, April 15 — Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) berjaya menarik pelaburan komited bernilai RM2.6 bilion pada suku pertama 2021, meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran yang dibawa oleh pandemik COVID-19.
Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dalam satu kenyataan hari ini berkata di bawah Pelan Induk Wilayah Ekonomi Pantai Timur 2.0 (EMP 2.0) dari 2018 sehingga Februari 2021, ECER telah berjaya menarik pelaburan komited kumulatif bernilai RM17 bilion yang dijangka mewujudkan lebih 15,000 peluang pekerjaan dan 1,800 peluang perniagaan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Baidzawi Che Mat berkata ECERDC akan terus menumpukan kepada usaha menarik pelaburan asing dari negara-negara Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) seperti Jepun, China, dan Korea Selatan dan meningkatkan usaha menarik pelaburan daripada Jerman dan dua negara sasaran baharu, iaitu Rusia dan India.
“Dalam jangka pendek, kami menjangkakan usaha menarik pelaburan baharu akan terus menjadi satu cabaran kerana ekonomi masih lagi dalam fasa pemulihan daripada kesan pandemik. “Bagaimanapun, berdasarkan trend terkini tahun 2021, menunjukkan penurunan kes harian COVID-19 di serata dunia susulan langkah vaksinasi yang dipergiatkan, kenaikan harga minyak dan peningkatan minat dalam mempelbagaikan rantaian bekalan dan kepentingan keselamatan makanan,” katanya pada mesyuarat Majlis ECERDC hari ini.
Menurutnya, ECERDC telah merangka pelan untuk meningkatkan daya saing wilayah tersebut sebagai destinasi pelaburan dan mengembalikan semula momentum pelaburan. Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turut dihadiri Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.-BERNAMA