KUALA TERENGGANU, 25 Nov — Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu hari ini sebulat suara meluluskan Belanjawan Negeri 2021.
Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ketika menggulung perbahasan belanjawan itu berkata setelah mempertimbangkan faktor semasa dan unjuran jangka panjang, kerajaan negeri memilih untuk tidak membesarkan perbelanjaan, sebaliknya melaksanakan belanjawan berasaskan keutamaan dalam kapasiti semasa.
“Kerana itulah, kerajaan negeri konsisten mengehadkan defisit tidak melebihi 10 peratus atau RM125 juta,” katanya.
Ahmad Samsuri pada Isnin membentangkan Belanjawan 2021 bertemakan “Melestarikan Kesejahteraan Bersama” dengan peruntukan sebanyak RM1.375 bilion untuk perbelanjaan mengurus, berbanding RM1.832 bilion pada belanjawan tahun ini.
Menyentuh mengenai Inisiatif Khas COVID-19 yang diumumkan pada pembentangan belanjawan tersebut dengan peruntukan RM34.32 juta, beliau berkata ia merupakan sokongan kepada Belanjawan 2021 yang dibentangkan Kerajaan Persekutuan untuk menampung keperluan dan kepentingan rakyat menghadapi cabaran ekoran penularan pandemik tersebut.
Inisiatif Khas COVID-19 antara lain melibatkan bantuan tunai Cakna Rakyat Terengganu sebanyak RM200 secara sekali beri kepada 48,500 isi rumah golongan B40, membabitkan peruntukan RM9.7 juta.
Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata sebuah gudang Chicken Cottage di United Kingdom telah dijual kepada sebuah syarikat di negara itu pada harga 722,400 pound Britain dan bayarannya telah diterima sepenuhnya pada 26 Feb tahun lepas.
Ketika ditemui pemberita selepas sesi persidangan DUN, Ahmad Samsuri berkata penjualan tersebut hanya melibatkan sebuah gudang dan tidak menjejaskan operasi restoran makanan segera milik sepenuhnya Kerajaan Negeri Terengganu itu.
Chicken Cottage kini mempunyai 60 outlet di United Kingdom yang masih beroperasi manakala dua cawangannya di Malaysia iaitu di Kuala Terengganu (Ladang Tok Pelam) dan di Taman Tun Dr Ismail (di Kuala Lumpur) telah ditutup operasi sebelum ini, katanya.
“Keputusan ini (menjual gudang) dibuat pada 2017 sebelum pilihan raya (Pilihan Raya Umum ke-14), jadi bila kita (PAS) ambil alih kerajaan negeri, kita telah meneliti keputusan-keputusan yang dibuat sebelum ini. Jadi kita tidak ada halangan untuk kita menjual gudang itu kerana ada tawaran daripada pihak luar untuk membelinya.
“Penjualan gudang itu tidak melibatkan penjualan operasi Chicken Cottage, jadi ini adalah perkiraan keputusan perniagaan atau kepentingan perniagaan kepada restoran itu,” katanya. — BERNAMA