DUN Perak calonkan Mujahid jadi Senator

Estimate Reading Time: < 1 minute

IPOH: Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini meluluskan pemilihan Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa sebagai calon dari Perak untuk dilantik sebagai Ahli Dewan Negara.

-Advertisement-

Nama Mujahid yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) dicadangkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad (BN-Kota Tampan) dan disokong Sandrea Ng Shy Ching (PH-Teja).

Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata hanya satu nama calon sahaja diusulkan kepada Setiausaha DUN Perak hingga tarikh akhir penamaan iaitu 15 Mei lalu.

Saarani ketika mencadangkan nama Mujahid, berkata pemilihan Senator itu adalah bagi menggantikan Ahli Dewan Negara dari Perak yang melepaskan keahlian pada 2 November tahun lalu.

Difahamkan, Ahli Dewan Negara dari Perak yang melepaskan keahlian adalah Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid yang juga Ahli Parlimen Kuala Kangsar.

-Advertisement-

DUN Perak cadang gelaran Dato’ Maharaja Lela dihidupkan semula

Sementara itu, DUN Perak turut meluluskan Pindaan Perenggan (b) Fasal (1) Perkara 38 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan yang memutuskan agar gelaran Dato’ Maharaja Lela diwujudkan atau dihidupkan semula.

Saarani ketika membentangkan usul itu berkata gelaran itu akan mengambil kedudukan tertinggi dalam barisan pemegang gelaran Orang Besar Lapan negeri Perak dengan pemegang gelaran itu nanti akan digelar sebagai “Orang Kaya Kaya Maharaja Lela Tanjana Putra.”

Katanya, pindaan itu akan menyaksikan pemansuhan gelaran Orang Besar Lapan iaitu “Orang Kaya Kaya Setia Bijaya Diraja” yang seterusnya digantikan dengan gelaran “Orang Kaya Kaya Maharaja Lela Tanjana Putra.”

-Berita Harian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427