TAPAH, 17 OKTOBER 2022 (The Capital Post): Perak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkuatkuasa hari ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata pembubaran itu selepas mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Katanya, ia selaras dengan Fasal 2, Perkara 36 Bahagian Pertama Undang-undang Tubuh Negeri Perak.
“Pembubaran bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri dilaksanakan serentak dengan Pilihan Raya Umum di peringkat Persekutuan,” katanya pada sidang media khas di Pejabat Daerah dan Tanah Batang Padang, di sini hari ini.
Rabu lalu, Saarani dilapor berkata, Sultan Nazrin belum memberi perkenan untuk pembubaran DUN Perak ketika sesi sembah menghadap di Istana Kinta, Ipoh, selain menambah bahawa pengumuman keputusan permohonan itu akan dilakukan selepas baginda membuat pertimbangan sewajarnya.
Jumaat lalu, media melaporkan Pahang dan Perlis masing-masing membubarkan DUN ke-14 berkuatkuasa hari itu juga bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan serentak dengan PRU-15.
Setakat ini, hanya DUN di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) iaitu Perak, Pahang, dan Perlis dilaporkan akan dibubarkan untuk mengadakan pilihan raya bersekali dengan pemilihan di peringkat Parlimen.
Ia kecuali bagi DUN Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak yang baharu melalui pilihan raya negeri di mana DUN tidak akan dibubarkan kerana belum mencapai tempoh matang.
-BH
(The Capital Post)