BANGKOK: Calon dari parti Move Forward, Padipat Suntiphada, dipilih sebagai Timbalan Speaker Pertama Dewan Rakyat Thailand.
Padibat diberi tanggungjawab itu selepas berjaya menewaskan calon lain daripada parti United Thai Nation, Witthaya Kaewparadai.
Padipat memperoleh sebanyak 312 undi, berbanding Witthaya, yang terpaksa berpuas hati dengan hanya 105 undi.
Seramai 77 Ahli Parlimen lagi tidak mengundi, manakala dua undi tidak sah.
Parti Move Forward yang mengetuai gabungan membabitkan keseluruhan lapan parti, menguasai 311 daripada keseluruhan 500 kerusi Parlimen dalam Dewan Rakyat.
Sehubungan itu, menurut sumber Parlimen, Padipat yang memperoleh lebih daripada 311 undi turut menerima sokongan daripada wakil rakyat parti lain.
Jawatan Timbalan Speaker Kedua Dewan Rakyat pula digalas oleh Ahli Parlimen Chiang Rai, Pichet Chuamuangphan dari parti Pheu Thai yang dicalonkan oleh Ahli Parlimen dari parti Prachachat, Thawee Sodsong.
Pichet bagaimanapun dipilih secara automatik berikutan tidak berdepan saingan calon lain.
Semalam, Ketua Parti Prachachat, Wan Muhamad Noor Matha dipilih sebagai Speaker Dewan Rakyat yang baharu.
Wan Muhamad menang tanpa bertanding selepas pemimpin parti Move Forward, Pita Limjaroenrat mencalonkannya.
Mengikut prosedur pemilihan, sekiranya terdapat hanya satu pencalonan, maka individu akan dipilih secara automatik.
Pemilihan Wan Muhamad Noor bagaimanapun masih belum diperkenankan oleh Raja dalam bentuk Titah Diraja.
Namun, ia akan membuka jalan kepada Speaker Dewan atas kapasitinya sebagai Presiden Parlimen, untuk memanggil sidang bersama Dewan Rakyat dan Dewan Negara bagi memilih Perdana Menteri baharu. – AGENSI
– BH