ALOR SETAR: Isu berkaitan tindakan saman sebanyak RM1 bilion oleh Pengerusi Eksekutif DSAT Group Sdn Bhd, Datuk Seri Azizul Tandek ke atas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor semakin panas berikutan kenyataan terbaru yang dimuatnaik usahawan kelahiran Tawau, Sabah di laman sosial miliknya semalam.
Menurut Azizul, pihaknya yakin dapat membuktikan di mahkamah bahawa kenyataan berkaitan ‘scammer’ tersebut memang ditujukan kepada mereka dan yakin hanya di mahkamah pihaknya boleh membersihkan nama baik DSAT Group selepas kenyataan tentang isu pengambilalihan pasukan bola sepak Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang dibuat oleh Menteri Besar pada 7 November lalu.
“MB Kedah boleh bermain dengan dramanya, tapi tidak dengan kifarahnya. Bagi DSAT, pihak kami boleh membuktikan di mahkamah yang ‘statement’ tu memang ditujukan kepada DSAT Group.
“Di mahkamah nanti, DSAT akan meminta pihak defendan untuk mengemukakan dan mendedahkan semua nama syarikat yang pernah terlibat dalam penipuan seperti yang dinyatakan oleh MB Kedah.
“Ini akan membantu membersihkan nama baik DSAT Group di mahkamah,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook rasminya.
Turut dinyatakan pihak sudah mengarahkan barisan peguamnya untuk menyerahkan surat tuntutan (LOD) secara serahan tangan kepada Sanusi, hari ini.
Sebelum ini, Sanusi menegaskan kenyataan dibuat tentang pihak yang mahu mengambil alih kelab bola sepak terbabit adalah bersifat umum, sekaligus tidak ditujukan kepada syarikat atau individu tertentu.
Bagaimanapun Sanusi juga memaklumkan pihaknya belum menerima surat tuntutan berkenaan daripada DSAT Group berhubung kenyataannya berkaitan isu pengambilalihan KDA FC, 7 November lalu.
-BeritaHarian