ALOR SETAR, 5 April — Dr Hezri Adnan mengesahkan kontraknya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) telah tamat pada Sabtu lepas selepas dua tahun menerajui agensi itu.
Ketika dihubungi Bernama hari ini, Hezri berkata beliau menerima dengan hati terbuka keputusan Kementerian Kewangan untuk tidak menyambung kontraknya yang bermula pada 4 April 2019.
“Saya terima dengan positif keputusan ini yang mana pada 17 Mac 2021 saya ada menerima surat penghargaan yang ditandatangani Menteri Kewangan (Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz) untuk penamatan kontrak saya ini,” katanya.
Hezri berkata beliau optimis dengan keputusan itu dan percaya bahawa kerajaan mempunyai pertimbangan yang wajar bagi melantik CEO baharu LADA.
“Cumanya, untuk tempoh dua tahun satu masa yang singkat bagi saya untuk melakukan perubahan besar kepada LADA, apatah lagi pada 2020, negara kita melalui situasi sukar dengan berlakunya pandemik COVID-19 sekali gus memberikan kesan kepada kedatangan pelancong ke Langkawi,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap CEO baharu LADA dapat memperkemaskan lagi hubungan antara agensi itu dengan komuniti dan pemain industri pelancongan seperti yang dilaksanakannya sebelum ini.
— BERNAMA