DPIA rancang padanan perniagaan Malaysia-Russia

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Dewan Perdagangan dan Industri ASEAN (DPIA) serta Bala Academy Kazan dari Tatarstan, Russia, memeterai memorandum persefahaman (MoU) kerjasama dalam bidang pendidikan dan latihan keusahawanan bagi jangka panjang.

-Advertisement-

MoU itu antara lain membuka ruang untuk hubungan ekonomi Malaysia dan Russia diperkukuh, termasuk melalui bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang semakin berkembang di seluruh dunia.

DPIA ditubuhkan kumpulan perindustrian serantau dan berpangkalan di Malaysia, antara lain menyelidik keperluan perniagaan masa depan, mendepani cabaran dan mempersiapkan pihak berkepentingan dalam ekonomi untuk memanfaatkan perubahan dan peluang yang ada.

Presidennya, Datuk Sohaimi Shahadan, berkata pihaknya dalam perancangan untuk mengatur padanan perniagaan yang berpotensi di antara Malaysia-Russia.

“Kita nampak banyak teknologi baharu dari Russia yang boleh kita bawa masuk ke Malaysia. Jadi ini satu platform untuk usahawan kita teroka bidang perniagaan baharu.

“Misalnya untuk pendidikan, kita bekerjasama dengan DrAzu Academy. Salah satu daripada program sulung dalam kerjasama ini adalah membawa 10 pelajar Russia melihat cara pengajian di sini dan peluang yang disediakan untuk pelajar antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penutup STEM Education Youth Leader Program Russia-Malaysia 2023, di sini malam tadi.

Yang hadir sama, Duta Russia Ke Malaysia, Naiyl Latypov; Ahli Majlis Tatarstan, Albina Nasyrov dan Ketua Pegawai Eksekutif DrAzu Academy, Dr Azuraida Shahadan.

-Advertisement-

Sohaimi memaklumkan, pihaknya merancang melakukan kunjungan balas ke Kazan pada hujung tahun ini bagi perbincangan lanjut mengenai peluang kerjasama pendidikan serta ekonomi dua hala secara lebih menyeluruh.

Dalam pada itu, Azuraida ketika mengulas mengenai ‘STEM Education Youth Leader Program Russia-Malaysia 2023’, berkata progam julung kali itu bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar Russia mengenai sistem pendidikan dan peluang pengajian tinggi di Malaysia.

“Idea ini timbul ketika Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hadir Forum Russia-Dunia Islam 2023 di Kazan, Mei lalu.

“Saya hadir sebagai speaker jemputan dan beliau minta supaya saya anjurkan satu program membawa pelajar Russia ke sini. Akhirnya ia berjaya direalisasikan dengan kerjasama pelbagai pihak, terutama Universiti Teknologi Malaysia dan Kolej Yayasan Saad,” katanya.

Program 10 hari membabitkan 10 pelajar Russia berusia lapan hingga 16 tahun dari Cambridge International School Kazan BC Academy itu, antara lain berkait STEM dan kepimpinan, selain pendedahan mengenai kebudayaan, destinasi pelancongan dan lawatan ke IPT di ibu negara.

Azuraida berkata, DrAzu Academy turut merancang membawa pelajar Malaysia ke Russia pada tahund depan untuk memperoleh pengalaman baharu.

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427