KUALA LUMPUR: Selepas tujuh tahun tidak beraksi di Malaysia, deejay dan produser antarabangsa, DJ Hardwell akan membuat penampilan istimewa dalam Festival Muzik Neon di KL Base Sungai Besi pada 11 April ini.
Penganjur festival, NEON Projects Sdn Bhd juga mengangkat Hardwell sebagai bintang utama pesta berkenaan.
“Hardwell akan membawakan lagu hit seperti Spaceman dan bunyi terbaharunya yang mencetus trend masa kini, iaitu Big Room Techno,” katanya menerusi kenyataan media.
Selain itu, Artbat, satu nama yang dikenali dalam dunia melodi techno dan terkenal dengan visual menakjubkan akan membuat debut di rantau ini dengan persembahan audio visual baharu, Upperground.
Neon membuat kejutan apabila mendedahkan bukan satu nama, tetapi tiga nama, iaitu Dubvision, Matisse & Sadko serta Third Party akan bergabung.
“Ini adalah persembahan julung kali tiga gergasi Progressive House, sekali gus melakar sejarah dalam muzik tarian.
“Biarpun Matisse & Sadko pernah menemui peminat Malaysia, gabungan ini menampilkan persembahan debut Third Party yang ditunggu-tunggu di Malaysia.
“Ia membawa kembali bunyi Progressive House yang digemari ke pentas tempatan untuk kali pertama dalam beberapa tahun,” menurut kenyataan itu.
Dengan kepulangan epik Hardwell dan persembahan artis antarabangsa, NEON Projects mendefinisikan semula erti muzik elektronik secara langsung, menjanjikan gabungan visual hebat, muzik berenergi tinggi dan tenaga luar biasa.
Bagi yang mengikuti jenama NEON, pasti boleh menjangkakan suasana festival tiada tandingan, paparan LED mengasyikkan dan grafik masa nyata menarik, pertunjukan laser, seni interaktif dan peluang bergambar tanpa had.
“Pasukan NEON berusaha keras untuk memberikan yang terbaik demi pengalaman tiada tandingan,” menurut kenyataan berkenaan.
-BeritaHarian