SAMARAHAN: Seorang lelaki hilang selepas disambar buaya ketika memukat ikan di Sungai Meranek, dekat sini, awal pagi tadi.
Sumber berkata, mangsa, Azyan Azhar, 28, pergi ke sungai berkenaan pada jam 3.45 pagi tadi bersama bapanya, Azhar Razali untuk memeriksa pukat yang mereka pasang.
Bagaimanapun, pada jam 4.15 pagi, Azhar kembali ke rumah mereka di Kampung Meranek, di sini dan memaklumkan anaknya disambar buaya.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 6.45 pagi tadi.
Berikutan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan dengan 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan dikejarkan ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, Komander Operasi (KO) mengesahkan kejadian dan mengambil maklumat penuh berhubung kejadian serta menggerakkan aset bagi menjalankan operasi seterusnya membuka Pos Kawalan Bomba (PKB) untuk penyelarasan operasi pencarian.
“Sebelum itu, pencarian dilakukan oleh penduduk kampung sejak awal pagi di sekitar lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
-BH