Dilema kamar tidur

Estimate Reading Time: 2 minutes

Kedengaran agak pelik apabila ada segelintir wanita masih tidak dapat melakukan hubungan intim biarpun sudah berkahwin selama beberapa tahun.

-Advertisement-

Mereka ini bukan tergolong sebagai mati putik sebaliknya ada keinginan seksual sama seperti insan normal lain, tetapi tidak dapat menyudahinya.

Bagi Halina Samad, 35, (bukan nama sebenar) dia merasakan ada sesuatu yang tidak kena kerana masih dara biarpun sudah bergelar isteri. Bukan dia tidak mencuba malah sejak malam pertama, dia dan suami melakukan hubungan kelamin namun gagal.

“Oleh kerana masih belum hamil, akhirnya kami menceritakan masalah kepada keluarga. Mereka membawa saya berjumpa ustaz namun apa yang saya alami tiada kaitan dengan buatan orang,” ujar Halina.

Tidak sanggup menanggung penderitaan, suami membawa Halina bertemu pakar perbidanan dan sakit puan. Namun doktor menjelaskan tiada sebarang keganjilan. Ia normal sama seperti pasangan lain.

Beliau kemudian dirujuk kepada pakar psikiatrik untuk penjelasan lanjut.

“Doktor mengatakan saya menghidap vaginismus. Ia sesuatu yang ganjil dan tidak pernah saya dengar. Saya rasa pelik dengan diri sendiri. Saya rasa semua orang tidak memahami dan tidak boleh melakukan apa-apa untuk mengubati saya.

“Apa yang membuatkan saya sangat sedih dan kecewa kerana bermacam perkara saya boleh lakukan dalam hidup. Saya wanita bekerjaya dan mempunyai personaliti menarik, tetapi gagal melakukan hubungan intim,” luahnya.

Tambah Halina lagi, apa yang dialami seperti tidak masuk akal.
Sudah lima tahun melangsungkan perkahwinan dan banyak cubaan melakukan hubungan, tetapi ia tetap tidak berjaya walaupun ketika berbulan madu.

Bagi suami Halina pula ia berasakan laluan seakan seperti tertutup.

“Bagi saya pula perhubungan ini amat menyakitkan sehingga saya menangis dan menghentikannya. Saya bukan tiada nafsu, kerana setiap malam kami mencuba, tetapi tidak sampai ke kemuncaknya,” katanya yang bersyukur kerana suami sangat memahami dan penyabar.

-Advertisement-

Suami juga tidak memaksa sebaliknya menunggu sehingga Halina sembuh sepenuhnya.

Menurut Pakar Psikologi Klinikal Jabatan Psikiatri Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Firdaus Mukhtar ramai wanita berhadapan vaginismus terutama golongan profesional
di bandar.

Mereka ini dikatakan masih dara walaupun bergelar isteri kerana secara teorinya masih belum ‘bersama’ suami.

Menariknya kumpulan ini bukan calang-calang wanita. Dilihat daripada segi luaran mereka berperwatakan menarik, memiliki kerjaya, berpendidikan tinggi dan terdiri daripada selebriti.

Pendek kata tiada yang kurang kerana rata-rata yang mendapatkan rawatan adalah pasangan bahagia. Namun akibat vaginismus ada pasangan bercerai.

Ia membabitkan fizikal, psikologi atau campuran kedua-duanya.

Gangguan ini turut dikaitkan dengan konflik psiko-seksual. Ada pasangan fobia terhadap hubungan seksual disebabkan ia menyakitkan dan kurang pengetahuan mengenai fisiologi seksual dan anatomi.

“Jadi ketakutan dan kecemasan akan mengakibatkan kekejangan otot vagina secara spontan seterusnya menghalang hubungan seksual berlaku,” katanya.

Secara global hampir empat hingga 47 peratus wanita di dunia mengalami vaginismus.

Bagaimanapun, di Malaysia tiada maklumat terperinci dilaporkan setakat ini. – Harian Metro


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427