KUALA LUMPUR: “Saya terbuka… Awak bayar RM1 pun saya buat (ganding semula). Tidak bayar pun, saya buat. Kalau saya yang kena bayar (keluarkan kos) juga saya buat.”
Itu pengakuan bintang hip hop, Joe Flizzow yang menawarkan diri berganding semula dengan Malique Ibrahim, individu penting yang bersamanya mengasaskan kumpulan duo hip hop, Too Phat.
Joe yang ‘berpisah’ dengan Malique sejak 18 tahun lalu, sanggup dibayar harga serendah RM1 atau tidak dibayar sekalipun, asalkan niat untuk berkongsi pentas bersama Malique, direalisasikan.
“Situasi ini seperti pemain bola sepak di mana tempatnya di padang. Anak seni pula tempatnya di pentas dan ini adalah pentas pertama saya (kenangan bersama Too Phat).
“Ini adalah tempat saya belajar semua perkara dan menjadikan siapa saya sekarang. Sudah tentu kalau diberi peluang kembali ke pentas itu, saya terbuka,” katanya ditemui pada majlis berbuka puasa bersama anak yatim anjuran Universal Music Malaysia di sebuah hotel di sini, malam tadi.
Joe diminta berkongsi pandangan apabila Malique yang selama ini bekerja belakang tabir selepas pembubaran Too Phat, buat pertama kali tampil dalam platform TikTok dan Instagram (IG).
Baru-baru ini, selepas lama menyepi, Malique atau nama sebenarn Cairel Edrin Ibrahim muncul dengan akaun IG rasmi, Malique Ibrahim. Bagaimanapun, komposer lagu Sedih Hati itu tidak memuat naik sebarang foto memaparkan wajahnya.
Sebaliknya, Malique yang dikenali sebagai Mr General, sekadar berkongsi foto lokasi menarik dan selebriti yang datang ke studio miliknya, iaitu Qarma Studios.
Joe atau nama sebenar, Johan Ishak, 46, mengaku banyak menerima tawaran untuk membuat persembahan bersama Malique. Namun, belum ada jawapan diterima daripada sahabat lamanya itu.
“Saya dapat banyak ‘show’ bersama Malique. Kalau saya nak cakap, jumlah yang ditawarkan (bayaran) pun tinggi. Kadang-kadang mungkin penganjur fikir duit boleh pengaruhi keputusan saya.
“Saya konsisten… Saya ada di sini dan tidak ke mana-mana. Saya tempuhi segala-galanya dan saya menjawab untuk semua pihak selama 20 tahun ini. Saya tidak kata saya yang buat semua kerja, tetapi, saya masih di sini dan Insya-Allah, akan terus berada di sini,” katanya.
Joe berdoa agar hasrat mana-mana pihak yang mahu menawarkan ‘job’ kepada dirinya dan Malique, termakbul.
“Bagi semua yang tawarkan hendak buat ‘show’ Too Phat, insya-Allah kita doakan. Jika Malique dengar ini, saya boleh katakan bahawa keputusan di tangan dia… Dia yang buat keputusan dan saya bersedia,” katanya.
Joe dan Malique mengasaskan kumpulan Too Phat pada 1998 serta mencetuskan fenomena bukan sahaja di Malaysia, malah rantau ini. Namun, pada 2007, mereka memilih meneruskan karier secara solo sebelum Malique menghilangkan diri.
-BeritaHarian