KUALA LUMPUR: Sidang Dewan Rakyat kecoh selepas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membangkitkan mengenai kenyataan Istana Negara berhubung pembatalan Proklamasi Darurat dan Ordinan Darurat.
Anwar (PKR-Port Dickson) menyifatkan kenyataan Istana Negara yang memaklumkan kekecewaan Yang di-Pertuan Agong itu, menunjukkan kerajaan melanggar prinsip Perlembagaan dan tidak menghormati institusi diraja.
Tegasnya, kenyataan pembatalan Ordinan Darurat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada Isnin lalu juga mengelirukan Dewan Rakyat dan melanggar Peraturan Mesyuarat 36(12)..
“Kenyataan Istana Negara ini jelas menunjukkan Kabinet diketuai Perdana Menteri. Tan Sri Muhyiddin Yassin melanggar semangat Perlembagaan dan menghina institusi raja, khususnya Yang di-Pertuan Agong.
“Malah, disebut khusus nama Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Takiyuddin yang mengeluarkan kenyataan mengelirukan Dewan, sekali gus tidak bercakap benar kepada rakyat.
“Oleh itu, kita tidak ada pilihan lain, selain menuntut Perdana Menteri meletakkan jawatan,” katanya ketika sidang khas Dewan Rakyat, hari ini.
Peraturan Mesyuarat 36(12) memperuntukkan mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan Dewan, disifatkan sebagai menghina persidangan dan boleh dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa amat dukacita dengan pengumuman kerajaan berhubung pembatalan semua Ordinan Darurat kerana ia belum diperkenankan baginda.
Kenyataan dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan, baginda turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana perkara dipersetujui terdahulu dengan Takiyuddin dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun yang cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan, tidak dilaksanakan.
Isnin lalu, Takiyuddin memaklumkan dalam Dewan Rakyat berdasarkan Perkara 150(3) Perlembagaan, kerajaan memutuskan semua ordinan yang dibuat sepanjang tempoh Proklamasi Darurat, dibatalkan pada 21 Julai lalu.
-BH