Derita pencemaran najis babi

Estimate Reading Time: 2 minutes

TASEK GELUGOR: “Derita yang masih berlarutan dan tiada kesudahan”.

-Advertisement-

Mungkin itu ungkapan paling sesuai buat penduduk Kampung Air Melintas Kecil, Tasek Gelugor, Pulau Pinang, berhubung isu pencemaran najis babi di Sungai Kereh akibat longgokan najis babi yang mengalir dari ladang di Kampung Selamat yang jaraknya kira-kira lima kilometer dari sini.

Penduduk, Abu Hasan Awang,52, memberitahu Bernama, pencemaran serta bau busuk dari air yang mengalir di Sungai Kereh itu sudah terlalu lama berlaku, namun penyelesaian masih tidak menunjukkan tanda berakhir hingga kini.

“Bayangkan dari 1980-an hingga kini, masalah ini tetap sama. Pihak berkuasa, agensi berkaitan, wakil rakyat, datang silih berganti, hanya datang,lihat kemudian pulang. Pencemaran itu tetap berlaku hingga kini. Sampai bila?” katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya di Kampung Air Melintas Kecil baru-baru ini.

Abu Hasan berkata memandangkan isu pencemaran sungai itu masih berlarutan, wajar sekiranya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat perkara tersebut yang berkemungkinan melibatkan faktor “orang dalaman”.

“Siasatan SPRM itu perlu dan wajar. Saya bersetuju jika SPRM nak datang siasat. Pencemaran Sungai Kereh sebab perkara ini sudah berpuluh tahun (40 tahun), berpunca dari ladang babi dan juga bahan kimia kilang.

“Kalau musim kemarau lagi teruk, bau amat kuat, bercampur najis babi dan bahan kimia dari kilang, ” tambahnya. Beliau yang sebelum ini mengerjakan sawah tidak lagi berbuat demikian disebabkan air sungai yang tercemar itu turut memusnahkan hasil tanaman padinya, sebaliknya kini meraih pendapatan sebagai pemandu lori.

Berkongsi kenangan ketika Sungai Kereh belum tercemar pada awal 1970-an, Abu Hasan berkata, sungai itu lubuk rezeki untuk penduduk setempat mencari rezeki kerana banyak udang galah.

Namun kini aktiviti menangkap dan menjual udang galah tidak lagi dapat dilakukan.

-Advertisement-

Kekecewaan sama diluahkan pesawah Hishamudin Md Isa, 42, yang menanggung kerugian akibat pencemaran Sungai Kereh malah menceritakan pengalaman menjijikkan ketika mahu mengambil hasil padi.

“Pernah ada najis seketul-seketul di situ. Tidak sanggup rasanya. Padi juga banyak yang rosak dan kami pesawah mengalami kerugian ribuan ringgit. Itu belum masuk habis kaki gatal-gatal,” katanya .

Bagaimanapun, Hishamudin mengakui menarik nafas lega apabila perkara itu mendapat perhatian Jawatankuasa Petugas Khas yang ditubuhkan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) yang diarahkan menyelesaikan segera isu berkenaan.

Katanya, lawatan bekas Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara Datuk Dr Nadzri Yahaya baru-baru ini yang turun meninjau lokasi pencemaran, dilihat dapat memberi kelegaan serta ruang penyelesaian sebaiknya demi kesejahteraan penduduk setempat dan sekitarnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri (Pulau Pinang), Dr Norlela Ariffin berkata, beliau meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) membuat laporan polis di bawah Sekyen 430 Kanun Keseksaan dan kini perkara itu masih dalam siasatan polis.

Tambahnya, pihak polis telah mengambil 11 sampel air sungai yang ada najis Babi serta sampel dari kandang yang disyaki melepaskan najis.

“Jika SPRM hendak siasat, saya mengalu-alukan supaya tidak ada pencemar yang dibiarkan membuang sisa kumbahan ke dalam parit dan sungai sehingga BOD (Oksigen Biokimia) terlalu tinggi,” katanya.

Menurutnya Enakmen Ternakan Babi 2016 hanya diwartakan pada tahun 2020 dan Peraturan Ternakan Babi pula hanya diwartakan pada Mac 2020. Disebabkan itu kerajaan negeri melalui Jabatan Veterinar tidak dapat mengambil tindakan.

“SPRM boleh siasat kenapa proses pewartaan Enakmen Ternakan Babi ambil masa yang begitu lama berbanding Enakmen Perladangan Unggas yang diluluskan pada sesi kedua sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada 2020 dan diluluskan di Mesyuarat Exco pada 9 Dis lalu untuk diwartakan pada 1 Jan 2021,” katanya. -FMT


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427