KUALA LUMPUR: Kes dan risiko jangkitan COVID-19 dalam kalangan pendatang asing tanpa izin (PATI) boleh dikawal dengan menggunakan model seperti mana menangani penyakit HIV dalam kalangan penagih dadah di negara ini.
Dekan Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman, berkata ini kerana kes dan risiko jangkitan dalam kalangan pekerja asing dan PATI adalah isu yang agak rumit dan perlu ditangani secara holistik.
Golongan yang terpinggir itu perlu didekati bagi memberi maklumat kepada mereka dalam bahasa dan istilah yang boleh difahami. Mereka juga perlu diberi pengetahuan mengenai kebersihan dan langkah untuk mengelak jangkitan.
“Seperti menangani wabak HIV dalam kalangan pengguna dadah umpamanya, kami bekerjasama dengan bekas penagih dan penagih sendiri untuk memberi maklumat, melaksanakan program pertukaran jarum dan juga rawatan methadone, memberi maklumat mengenai HIV dan sebagainya.
“Dengan kerjasama yang dijalinkan dengan golongan itu, kita boleh memahami keperluan, masalah dihadapi, mendapat kepercayaan daripada mereka dan dengan secara langsung atau tidak dapat mencapai matlamat program iaitu memberi pengetahuan mengenai HIV dan juga meningkatkan keberkesanannya, …ini juga boleh dilakukan untuk COVID-19, ” katanya kepada BH, di sini hari ini.
Pada masa sama, Dr Adeeba berkata, ujian saringan COVID-19 hanyalah satu daripada langkah yang perlu diambil namun untuk menangani pandemik itu dengan berjaya, kerajaan perlu menggerakkan usaha berkenaan.
Adalah amat penting program ini dilaksanakan bersama badan bukan kerajaan (NGO) kerana kepercayaan terhadap mereka sudah terjalin.
Kerjasama dengan majikan juga perlu dilaksanakan supaya mereka menyediakan tempat tinggal yang lebih sesuai kerana adalah mustahil mengelak jangkitan sekiranya mereka tinggal dalam kawasan yang sesak dan kurang bersih.
“Satu pelan strategi yang mengambil kira isu ini daripada pelbagai aspek dan pelan tindakan dari segi jangkamasa pendek, dan sederhana dan panjang perlu diambil.
“Dari segi jangkitan COVID-19 pada pendapat saya adalah tidak wajar untuk melakukan operasi dan dan menempatkan mereka di depoh tahanan yang sesak yang akan meningkatkan risiko jangkitan. Serbuan akan menyebabkan mereka lari dan menjadikan usaha untuk pengesanan kontak semakin rumit,” katanya.
-BH