MANCHESTER: Bekas penjaga gol Manchester United, David de Gea kembali ke kelab itu bagi menonton aksi kelayakan Liga Juara-Juara Eropah Wanita antara kelab lamanya menentang Paris Saint-Germain.
Pemain Sepanyol itu masih belum mempunyai kelab walaupun dikaitkan dengan pasukan-pasukan dari Arab Saudi dan Sepanyol, selepas kontraknya di Old Trafford tamat musim lalu.
De Gea kembali ke England pada Isnin dan akan berada di sana beberapa hari bagi menguruskan kediamannya di Hale.
Pemain 32 tahun sempat memberikan sokongan kepada pasukan wanita Man United di Leigh Sports Village.
Man United seri 1-1 menentang PSG pada perlawanan pertama kelayakan dalam usaha kelab itu mara ke peringkat kumpulan pada penampilan sulung mereka di kejohanan itu.
De Gea kembali menjadi sebutan peminat Man United selepas penggantinya, Andre Onana sering melakukan kesilapan yang membawa padah.
– AGENSI
-BeritaHarian