PETALING JAYA: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan berlaku serangan siber terhadap rangkaian data miliknya namun ia tidak menjejaskan operasi portal sebenar pasukan keselamatan itu.
Panglima Angkatan Tentera Affendi Buang berkata, serangan itu hanya berjaya menggodam segmen tertentu yang sudah diletakkan di luar rangkaian sejak awal lagi.
“Sebaik serangan bermula, Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (BSEP) dan Pusat Operasi Pertahanan Siber (CDOC) sudah melaksanakan pengasingan trafik data bagi tujuan mengaburkan lokasi sebenar data berdarjah seterusnya melindungi rangkaian yang menjadi sasaran penggodam.
“ATM juga menyedari wujudnya cubaan serangan siber yang berterusan terhadap rangkaian maklumat dimiliki oleh pihak Kementerian Pertahanan dan ATM,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, aspek keselamatan siber ATM sentiasa bersiap sedia bagi memastikan segala ancaman yang mengganggu rangkaian komunikasi pertahanan dapat dikesan awal seterusnya ditangani sewajarnya.
“ATM sentiasa memantau dan mempertingkatkan aspek keselamatan siber dari semasa ke semasa terutama melalui peranan BSEP dan CDOC yang bukan sahaja memperkukuhkan rangkaian pemantauan dan pertahanan komunikasi ATM malah melindungi rangkaian komunikasi strategik pertahanan Negara,” katanya.-FMT