Dakwaan AS kata China curi vaksin dianggap keterlaluan

Estimate Reading Time: < 1 minute

BEIJING: China mendakwa mendahului dunia dalam membangunkan vaksin COVID-19 dan adalah keterlaluan bagi Amerika Syarikat (AS) menuduhnya mencuri vaksin milik negara itu.

-Advertisement-

Jurucakap Kementerian Luar China, Hua Chunying, berkata demikian pada sidang media hariannya Jumaat lalu, bagi membalas dakwaan Peguam Negara AS, William Barr.

“Dakwaan Barr bahawa penggodam Beijing menjadikan universiti negara itu sasaran untuk mencuri maklumat berkaitan vaksin dan rawatan COVID-19 langsung tidak masuk akal.

“Kami memiliki penyelidik terbaik dan tidak perlu mencuri untuk berada pada kedudukan pertama,” katanya.

Hua turut menepis dakwaan Barr bahawa China terbabit dalam serangan ekonomi, untuk mengatasi AS sebagai kuasa besar dunia.

Menurut beliau, pasukan penyelidik China menjalankan pelbagai tugas bagi membangunkan lima jenis vaksin yang kini sudah memasuki fasa ujian klinikal.

-Advertisement-

Berdasarkan kertas putih China yang diterbitkan Jun lalu bagi menjelaskan usaha memerangi COVID-19, negara itu meluluskan empat vaksin belum aktif dan satu vaksin adenovirus untuk ujian klinikal.

Hua berkata, China juga akan meneruskan kerjasama dengan negara lain untuk mengukuhkan usaha pembangunan dan pengedaran vaksin, bagi membolehkan pandemik itu segera berakhir.

Pembangunan dan penghantaran vaksin COVID-19 di China akan dibuat untuk kepentingan semua pihak pada peringkat global.

Presiden China, Xi Jinping, pada Mei lalu berkata ia akan menjadi sumbangan negara itu dalam memastikan vaksin boleh diperoleh dengan mudah pada harga berpatutan di negara membangun.

– AGENSI


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427