Dagangan Bursa Malaysia bermula positif

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mencatatkan dagangan tinggi pagi ini, didorong oleh minat belian sederhana di kaunter berwajaran tinggi terpilih yang didahului oleh CIMB dan Public Bank.

-Advertisement-

Pada jam 9.07 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras pasaran meningkat 2.94 mata kepada 1,517.89 berbanding 1,514.95 pada penutupan petang Khamis.

Indeks utama dibuka 2.28 mata lebih tinggi pada 1,517.23.

Pergerakan harga di pasaran secara keseluruhan, kaunter untung mengatasi kaunter rugi 198 berbalas 168 sementara 236 kaunter tidak berubah, 1,606 tidak diniagakan dan tujuh yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 279.18 juta unit bernilai RM92.68 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd percaya faktor-faktor seperti gambaran yang lebih jelas dari sudut perkembangan politik, prosedur operasi standard yang lebih longgar di negeri-negeri fasa satu di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) serta musim pelaporan pendapatan korporat dapat menyumbang kepada minat dagangan di bursa tempatan.

“Namun begitu, terdapat risiko penurunan termasuk jangkitan harian COVID-19 yang tinggi serta penyusutan harga minyak mentah,” katanya.

Selain itu, harga minyak sawit mentah (MSM) juga telah turun di bawah paras RM4,500,” tambah firma broker itu dalam catatan penyelidikannya hari ini.

-Advertisement-

Ia menambah, pelabur mungkin memberi lebih fokus kepada sektor tema pemulihan seperti pengguna serta pengangkutan dan logistik berikutan pelonggaran selanjutnya SOP di negeri-negeri dalam fasa satu mulai hari ini.

“Sementara itu, dengan tibanya musim pelaporan korporat, peniaga akan turut memantau sektor teknologi, penjagaan kesihatan dan perladangan,” kata Malacca Securities.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, CIMB naik empat sen kepada RM4.64, Public Bank meningkat dua sen kepada RM3.93, Maybank menambah tiga sen kepada RM8.12, Kuala Lumpur Kepong lebih tinggi sebanyak 18 sen kepada RM20.18, Petronas Chemicals tidak berubah pada RM7. 97 dan TNB susut dua sen kepada RM9.88.

Bagi kaunter aktif, TFP Solutions naik satu sen pada 22 sen, Advance Synergy meningkat satu sen kepada 18 sen, Malayan United dan Dagang NeXchange menokok setengah sen kepada sembilan sen dan 74.5 sen, AE Multi Holdings tidak berubah pada empat sen dan Serba Dinamik turun satu sen kepada 40.5 sen.

Di papan indeks, FBM ACE meningkat 34.31 mata pada 7,144.47, Indeks FBM Emas mengukuh 23.06 mata kepada 11,097.36, Indeks FBM Emas Syariah naik 11.94 mata kepada 12,193.28, Indeks FBMT 100 mengembang 21.63 mata kepada 10,812.31, dan FBM 70 memperoleh 31.60 mata kepada 14,558.91.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.16 mata kepada 189.03, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 41.94 mata kepada 14,838.64, dan Indeks Perladangan lebih tinggi 36.59 mata kepada 6,410.09.

-BERNAMA -BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427