SHAH ALAM: Polis merampas pelbagai jenis dadah seberat 12,391 kilogram (kg), 4,088 liter cecair dadah, 90,375 kg daun ketum dan 17,122 liter air ketum dengan nilai keseluruhan RM343.58 juta, sejak awal tahun ini hingga kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata tahun lalu, polis merampas 14,186 kg pelbagai jenis dadah, cecair dadah (17,741 liter), daun ketum (291,270kg) dan 75,523 liter air ketum bernilai keseluruhan RM454.9 juta.
Katanya, bagi tahun ini hingga Mac lalu, sebanyak 26,823 kes direkodkan dengan 32,301 orang ditangkap bawah pelbagai seksyen kesalahan termaktub mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB 1952), Akta Racun 1952 dan Akta Penagih Dadah (R&P) 1983.
“Bagi 2020, sebanyak 121,828 kes dengan 146,045 orang ditahan mengikut akta berkenaan.
“Terdapat penurunan jumlah tangkapan iaitu sebanyak 17 peratus bagi tahun lalu berbanding 2019 berikutan penularan wabak COVID-19 yang melanda negara,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.
Acryl Sani berkata, tangkapan pada 2021 setakat Mac lalu membabitkan 7,630 individu berusia 41 tahun dan ke atas, usia 35 hingga 40 tahun (6,391), 30 hingga 34 tahun (5,828) serta 25 hingga 29 tahun (26,477).
Katanya, tahun lalu pula menunjukkan tangkapan membabitkan 31,944 orang berusia 41 tahun dan ke atas, 35 hingga 40 tahun (27,110), 25 hingga 29 tahun (26,477) dan 19 hingga 24 tahun (27,191).
“Bagi tahun lalu, sebanyak 305 sindiket dadah ditumpaskan yang mana seramai 1,204 orang terbabit ditahan di seluruh negara.
“Bagi tahun ini hingga Mac lalu, 89 sindiket ditumpaskan dengan tangkapan 333 orang,” katanya.