KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menggesa ibu bapa dan penjaga mengambil tindakan proaktif bagi melindungi kanak-kanak supaya tidak terdedah kepada bahaya jangkitan COVID-19.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata mereka perlu memantau pergerakan anak-anak agar kekal berada di rumah dan tidak keluar berjumpa kawan atau mengunjungi jiran tetangga.
Beliau menegaskan, KKM memang bimbang dengan situasi penularan wabak itu dalam kalangan kanak-kanak, terutama membabitkan bayi berumur kurang setahun serta kanak-kanak berusia bawah lima tahun.
“Hanya wakil keluarga dibenarkan membeli barangan keperluan keluarga, sebagaimana ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Ibu bapa sendiri perlu menjalankan tanggungjawab ini, sekali gus tidak membenarkan anak remaja mengunjungi tempat awam yang sesak serta berisiko tinggi,” katanya dalam kenyataan melalui Facebook beliau, semalam.
Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, anak-anak perlu dinasihatkan agar sentiasa memakai pelitup muka dan mengamalkan kebersihan kendiri yang betul jika terpaksa keluar rumah atas urusan tidak dapat dielakkan seperti ke hospital atau klinik.
“Ibu bapa yang ada bayi dan kanak-kanak berusia bawah lima tahun, perlu menjalankan tanggungjawab dengan kekal duduk di rumah serta tidak membawa anak ke tempat berisiko seperti pasar raya, pasar awam dan tempat sesak lain.
“Gunakan pembelian dalam talian bagi membantu mendapatkan keperluan harian,” katanya.
Sebagaimana dimaklumkan KKM, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 82,341 jangkitan COVID-19 dilaporkan dalam kalangan kanak-kanak sepanjang tempoh antara 25 Januari 2020 hingga 30 Mei lalu, termasuk 19,851 berumur kurang lima tahun.
Katanya, peratusan tertinggi membabitkan kanak-kanak berumur 13 hingga kurang 18 tahun (33.27 peratus) yang berkemungkinan disebabkan golongan itu lebih banyak bergerak dan menjalankan aktiviti luar.
Sama ada disedari ataupun tidak, beliau menjelaskan, ia membawa risiko jangkitan COVID-19 kepada diri mereka, adik-beradik dan ahli keluarga lain, terutama jika tidak mengikut nasihat diberikan KKM.
“KKM berharap segala maklumat diberi mengenai isu ini dapat menyedarkan semua pihak, terutama ibu bapa dan penjaga mengenai situasi penularan COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak. Ibu bapa berperanan sebagai pelindung kepada kanak-kanak.
“Semua pihak, terutama ibu bapa, diminta mengambil berat isu keselamatan serta kesihatan kanak-kanak memandangkan mereka masih kecil dan sistem pertahanan tubuh belum matang. Oleh itu, mereka cenderung untuk dijangkiti virus SARS-CoV-2.
“Kumpulan ini juga belum termasuk dalam golongan usia layak menerima suntikan vaksin melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
“Justeru, ibu bapa dan masyarakat sekitar harus melindungi mereka dengan mendaftarkan diri bagi mendapatkan vaksin. Melalui cara ini, persekitaran yang lebih selamat dapat sama-sama kita bina bagi kelestarian generasi masa hadapan,” katanya.-BH