KUALA LUMPUR: Kerajaan menyarankan syarikat menjalankan urusan temu duga pengambilan kerja secara dalam talian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ia bagi menangani masalah bakal pekerja terpaksa melakukan perjalanan merentas negeri semata-mata untuk menghadiri sesi temu duga bekerja.
“Syarikat yang nak buat temu duga, saya cadangkan sekarang kita sudah moden, gunakan secara maya kerana kita tidak benarkan perjalanan rentas negeri ketika ini,” katanya pada sidang media harian PKPB di Putrajaya dekat sini, hari ini.
Ismail Sabri berkata, larangan perjalanan merentas negeri turut terpakai kepada sektor pekerjaan yang tidak termasuk dalam senarai perkhidmatan penting seperti syarikat pengauditan.
“Untuk syarikat audit buat pemeriksaan hingga merentas negeri tetap tidak dibenarkan kerana ia tidak tersenarai dalam perkhidmatan penting,” katanya.
-BH