Contohi Vietnam hasilkan guru kreatif, bersemangat mendidik

Estimate Reading Time: 2 minutes

SISTEM pendidikan Vietnam terbukti antara paling berjaya beberapa dekad ini, menyumbang secara signifikan kepada pembangunan ekonomi. Ia bukan sahaja membangunkan modal insan, bahkan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan keseluruhan negara.

-Advertisement-

Bapa pengasas Vietnam, Ho Chi Minh, sangat menyedari peranan pendidikan hingga sering memetik peribahasa Cina, ‘Untuk manfaat 10 tahun, kita harus menanam pokok. Untuk manfaat 100 tahun, kita mesti mendidik manusia.’

Meskipun pertumbuhan ekonomi Vietnam begitu pesat, purata pendapatan per kapita masih sederhana, iaitu sekitar AS$3,760, lebih rendah berbanding Malaysia dan Thailand. Namun, pendidikan menjadi kunci utama dalam membina modal insan Vietnam kukuh.

Sistem pendidikan Vietnam menunjukkan keunggulan dalam penilaian antarabangsa seperti Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA). Dalam PISA 2022, pelajar Vietnam mencapai skor purata 468 keseluruhan, iaitu 72 peratus pelajar mencapai Tahap 2 atau lebih tinggi dalam Matematik; Tahap 2 atau lebih tinggi dalam bacaan (77 peratus) dan Tahap 2 atau lebih tinggi dalam Sains (79 peratus).

Walaupun purata skor sedikit di bawah purata Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), pencapaiannya tetap mengagumkan. Ini kerana Vietnam jauh kurang kaya berbanding negara OECD seperti United Kingdom (UK) dan Kanada.

Vietnam juga menduduki tempat ke-34 daripada 81 negara keseluruhan dan kedua terbaik di Asia Tenggara selepas Singapura, sedangkan Malaysia dalam PISA 2022 jauh lebih rendah (ke-55).

Antara faktor utama meningkatkan kualiti pendidikan Vietnam ialah latihan profesional berterusan disediakan kepada guru. Lebih 600,000 guru dan pengetua dilatih di bawah Program Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) dibiayai Bank Dunia.

Gabung pengajaran dalam talian, bersemuka

Program ini memberikan akses kepada latihan berasaskan sekolah, termasuk penggunaan teknologi dalam pengajaran dan kaedah pembelajaran gabungan membabitkan pengajaran dalam talian dan bersemuka.

Ini memastikan guru sentiasa mengikuti perkembangan terkini dalam pedagogi, teknologi dan kurikulum, menjadikan bilik darjah lebih interaktif serta menarik.

-Advertisement-

Kebebasan diberikan kepada guru menggunakan kreativiti dalam pengajaran juga menyumbang keberkesanan sistem ini. Mereka digalakkan menerapkan pelbagai kaedah seperti pembelajaran berasaskan projek dan aktiviti berkumpulan, yang membolehkan pengajaran disesuaikan mengikut keperluan pelajar.

Pendekatan lebih dinamik ini terbukti meningkatkan pembabitan pelajar dan membantu mereka lebih memahami bahan pelajaran dengan cara lebih menyeronokkan.

Bagi mengatasi jurang pendidikan antara bandar dengan luar bandar, kerajaan juga menyediakan insentif tambahan kepada guru berkhidmat di kawasan terpencil, iaitu kenaikan gaji dan faedah lain untuk memastikan terus komited walaupun menghadapi cabaran di kawasan kurang akses.

Penilaian prestasi guru juga berdasarkan kejayaan pelajar mereka. Guru berjaya meningkatkan pencapaian pelajar diberikan anugerah kecemerlangan, bukan sahaja mengiktiraf usaha mereka, bahkan mendorong peningkatan berterusan dalam kualiti pengajaran hingga mewujudkan budaya prestasi tinggi.

Semua inisiatif ini disokong kuat kerajaan yang mewajibkan setiap wilayah membelanjakan sekurang-kurangnya 20 peratus belanjawan untuk pendidikan. Kerajaan juga memastikan dasar pendidikan dikemas kini agar relevan keperluan semasa.

Latihan berterusan, kebebasan pengajaran, insentif untuk guru di kawasan terpencil dan sokongan kerajaan kukuh, menyumbang kejayaan sistem pendidikan Vietnam hingga terus berada pada tahap tinggi dan relevan dengan cabaran semasa.

Malaysia boleh mengambil pengajaran daripada pendekatan ini. Peningkatan latihan guru berterusan, penilaian berasaskan prestasi pelajar dan insentif kepada guru di kawasan terpencil boleh membantu meningkatkan sistem pendidikan negara.

Melalui sokongan berterusan terhadap guru, Malaysia dapat memperkukuhkan sistem pendidikan untuk mencapai kejayaan lebih tinggi pada peringkat global.

Dengan melabur dalam latihan berkala, memberikan kebebasan dalam pengajaran serta menawarkan insentif tepat, kita boleh meneladani Vietnam berjaya membina model pendidikan contoh.

Penulis adalah Penyelidik dan Perunding Kewangan Islam
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427