CIVac sasar tingkat vaksinasi dalam industri binaan

Estimate Reading Time: 1 minute

PETALING JAYA: Program Vaksinasi Industri Pembinaan (CIVac) akan menjadi kunci utama dalam memberi perlindungan kepada sektor penting, sekali gus mempercepatkan pemulihan ekonomi negara.

-Advertisement-

Menerusi kerjasama Kementerian Kerja Raya dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), vaksin Covid-19 akan diberikan kepada semua pemain industri dan pekerja di enam zon – tengah, utara, selatan dan timur Semenanjung, bersama Sabah dan Sarawak.

CIVac, yang akan menjadi pelengkap kepada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), akan menyaksikan semua kontraktor, pemaju, perunding, syarikat konsesi, pembekal, pekerja, penyelia, pengurus projek dan kakitangan pentadbiran menerima vaksin masing-masing di lokasi terpilih.

Program itu bermula Khamis lalu di Pusat Konvensyen CIDB di Jalan Cheras untuk pekerja pembinaan di Kuala Lumpur dan Putrajaya, manakala Selangor pula akan bermula di Kompleks Sukan Negara Panasonic pada 14 Julai ini.

Fasa pertama pendaftaran CIVac dibuka kepada 40,000 pekerja pembinaan di Kuala Lumpur dan Selangor pada 21 Jun lalu, dengan semua slot diisi dalam tempoh 24 jam.

“Ini menunjukkan kesediaan pemain industri untuk mempercepatkan kadar imunisasi dalam komuniti.

-Advertisement-

“Berdasarkan sambutan amat menggalakkan ini, Kementerian Kerja Raya memohon 200,000 dos vaksin lagi untuk 100,000 kakitangan pembinaan dari Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) bagi fasa kedua CIVac

“Kementerian akan meningkatkan bilangan ini berdasarkan permintaan dan keperluan industri pembinaan,” kata Menterinya, Fadillah Yusof ketika melawat pusat berkenaan.

Fadillah berkata, berdasarkan respons positif itu, fasa kedua CIVac akan dibuka di Pulau Pinang, Johor serta Pahang, dan ia juga akan diperluaskan ke Sabah dan Sarawak berdasarkan permintaan.

Program terbabit dibuka kepada semua pekerja tempatan dan asing, walaupun mereka yang tidak memiliki dokumen lengkap atau kad hijau CIDB.

Kementerian Kerja Raya menganggarkan dua juta dos vaksin diperlukan untuk pekerja pembinaan di seluruh negara bagi memastikan mereka dilindungi daripada jangkitan Covid-19.

Penyertaan CIVac dilakukan secara sukarela dan syarikat pembinaan serta pekerjanya digalakkan mendaftar bagi mempercepatkan kadar imunisasi di negara ini.-FMT


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427