MANCHESTER: Jurgen Klopp mengakui Manchester City adalah satu-satunya pasukan yang mampu mencemarkan maruah mereka selepas perlawanan pertama Liverpool sejak bergelar juara Liga Perdana Inggeris (EPL) berakhir dengan kekalahan 4-0 di Etihad.
City memberi isyarat yang kejuaraan itu bakal kembali menjadi milik mereka musim depan dengan Kevin De Bruyne, Raheem Sterling dan Phil Foden meledak gol sebelum rehat untuk kekalahan ketiga liga buat Liverpool dalam 71 perlawanan.
Jaringan sendiri Alex Oxlade-Chamberlain menutup hari malang buat anak buah Klopp, yang sepatutnya dibolosi lebih banyak di babak kedua.
Jurang di puncak liga kekal pada 20 mata, tetapi peluang Liverpool untuk menandingi beberapa rekod City dua musim lalu terbantut.
“Saya mahu melihat sikap yang hebat dan saya melihatnya, mereka betul-betul berjuang.
“Tidak ada yang bersikap ‘kami datang ke sini, kami tidak peduli’. Kami amat ambil peduli.
“Jika ada pasukan yang boleh membelasah kami seperti ini, ia adalah City tetapi kami akan bangkit,” kata Klopp.
Sebelum perlawanan, City memberi penghormatan kepada lawan mereka, tetapi sebaik sepak mula anak buah Pep Guardiola mula membuli Liverpool.
“Saya lihat mereka ketika ‘guard of honour’ (majlis penghormatan) dan mereka amat fokus, mereka langsung tidak mengucapkan ‘terima kasih’.
“Sebab itu mereka adalah juara Eropah dan EPL. Mereka minum banyak bir minggu lalu tetapi mereka tiba di sini tanpa bir dalam darah mereka untuk menentang kami,” kata Guardiola.
– AFP