PBB, AMERIKA SYARIKAT: China menuntut Amerika Syarikat (AS), Jerman dan Britain untuk membatalkan sidang video membincangkan tindakan keras Beijing terhadap etnik minoriti Islam Uighur, selain meminta anggota Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) tidak menyertainya.
Misi diplomatik China ke PBB dalam satu kenyataan berkata, sidang video yang dijadualkan berlangsung esok adalah berdasarkan kepada pembohongan semata-mata dan politik berat sebelah.
Beijing mendesak penaja bersama untuk segera membatalkan program itu yang didakwa mengganggu urusan dalaman China dan meminta negara anggota lain menolak program berkenaan.
“Situasi semasa di Xinjiang adalah yang terbaik dalam sejarah dengan kestabilan, pembangunan ekonomi yang pesat dan wujud keharmonian bersama antara semua etnik,” menurut kenyataan itu.
Menurut kumpulan hak asasi, sekurang-kurangnya sejuta minoriti Uighur dan minoriti kecil Muslim lain ditahan di kem di wilayah Xinjiang barat laut China dengan wanita dimandulkan secara paksa dan menjadi tenaga buruh.
Selain itu, jutaan umat Islam di China turut berdepan kesukaran di bawah sistem pengawasan dan kawalan yang ketat. Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini turut menegaskan tindakan ke atas etnik Uighur adalah pembunuhan beramai-ramai. “AS mengaku mengambil berat mengani hak asasi Muslim walaupun fakta yang diketahui di dunia bahawa AS membunuh orang Islam di Afghanistan, Iraq dan Syria.
“AS dan pengikutnya yang membunuh jumlah umat Islam terbesar di dunia,” menurut kenyataan China.
Pada pertemuan yang dianjurkan oleh Human Rights Watch esok, duta besar AS, Jerman dan Britain ke PBB akan bersuara untuk orang Uighur. -BH