KUALA LUMPUR: Syarikat telekomunikasi (telco) Malaysia secara umumnya mencatatkan prestasi lebih baik berbanding rakan setara di ASEAN serta sektor tempatan lain dari segi pematuhan kepada piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), menurut CIMB Securities Sdn Bhd.
Firma penyelidikan itu menyifatkan CelcomDigi Bhd sebagai peneraju ESG dalam kalangan syarikat telekomunikasi negara, selepas memperoleh penarafan empat bintang di bawah Indeks FTSE4Good (FTSE4G) – satu pencapaian cemerlang memandangkan hanya 10 peratus syarikat berjaya meraih penarafan tertinggi itu.
“Walaupun sektor telekomunikasi tidak berdepan cabaran besar dalam aspek ESG, ia juga bukan penerima manfaat utama dalam peralihan global ke arah pelaburan berasaskan ESG,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Sehubungan itu, firma berkenaan berpandangan bahawa tidak wajar untuk mengenakan penilaian premium atau diskaun ke atas syarikat telekomunikasi Malaysia semata-mata berdasarkan skor ESG.
Namun begitu, CIMB Securities menyifatkan serangan siber yang menyebabkan pelanggaran data serta aduan pengguna terhadap kualiti perkhidmatan rangkaian sebagai antara risiko utama sektor ini. Dalam masa sama, pengembangan kepada perkhidmatan keselamatan siber dilihat sebagai satu peluang pertumbuhan baharu yang berpotensi besar.
CelcomDigi turut mencatatkan skor tinggi dalam penilaian yang dijalankan oleh MSCI, FTSE4G dan Refinitiv, manakala skor oleh Sustainalytics dan S&P Global pula berada pada tahap purata.
Telekom Malaysia Bhd (TM) pula berada di kedudukan kedua, selepas menerima penarafan ESG kukuh daripada Refinitiv dan S&P Global, diikuti oleh Maxis Bhd dan Time dotCom Bhd masing-masing di tempat ketiga dan keempat.
Menurut CIMB Securities, penilaian ESG bagi sesebuah syarikat boleh berbeza mengikut agensi penarafan seperti MSCI, Sustainalytics, FTSE4G, Refinitiv dan S&P Global, bergantung kepada metodologi dan penekanan terhadap setiap tonggak ESG yang digunakan oleh setiap penyedia.
“Kami percaya perbezaan ini berpunca daripada pendekatan yang berlainan dalam menilai metrik dan kriteria ESG yang digunakan oleh setiap agensi penilaian,” katanya.
-BERNAMA
-BeritaHarian